Home » Langit Terbuka » Bajet institusi tahfiz diteruskan

Bajet institusi tahfiz diteruskan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menegaskan, setiap tahun dan setiap kali pembentangan bajet memang ada peruntukan untuk institusi tahfiz

SUBANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang mengatakan bahawa beliau percaya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak akan mengumumkan sebarang peruntukan kepada institusi tahfiz dalam pembentangan Bajet 2019 bulan depan.

Mujahid memberi jaminan bahawa apa yang disebut Najib adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, setiap tahun dan setiap kali pembentangan bajet memang ada peruntukan untuk institusi tahfiz.

“Saya mahu memberi jaminan pertamanya, apa yang disebut beliau tidak benar kerana saya kira setiap kali pembentangan bajet memang ada peruntukan untuk sekolah-sekolah tahfiz.

“Peruntukan berkenaan akan diteruskan dan sebahagian apa yang dibincangkan hari ini melibatkan sekolah-sekolah tahfiz akan dibawa ke Kabinet untuk dibuat sebarang penambahbaikkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) kali ke 16 yang berlangsung selama dua hari di sini.

Menurut Mujahid, setakat ini beliau belum mengadakan perjumpaan khusus dengan menteri kewangan tetapi ada menghubungi menteri itu bagi memaklumkan bahawa peruntukan untuk sekolah-sekolah tahfiz akan diteruskan dan menambahkan lagi peruntukan berkenaan.

“Berdasarkan daripada pengetahuan saya, PH mewarisi apa yang ada sebelum pembentangan bajet, itulah yang kita teruskan, tidak ada yang kita batalkan atau hentikan.

“Setahu saya dalam jabatan saya pun semua kita teruskan khususnya dalam institusi tahfiz ini, jadi tidak timbul isu sebahagiannya telah disekat dan sebagainya, saya tidak nampak apa-apa bukti daripada kenyataan itu,” katanya. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *