Home » Langit Terbuka » Jangan diskriminasi wanita Islam

Jangan diskriminasi wanita Islam

Konvensyen Wanita Islam Nasional 2018 menggesa kerajaan mempergiatkan kempen kesedaran hak-hak wanita dalam peruntukan undang-undang , kesihatan, pendidikan dan politik - Sinar Harian

PUTRAJAYA – Kerajaan perlu memastikan wanita Islam tidak dihalang daripada melaksanakan tuntutan agama seperti bertudung dan hak beribadah di tempat kerja baik di hotel, syarikat penerbangan, butik pakaian dan syarikat pelancongan.

Pengarah Konvensyen Wanita Islam Nasional (Konwanis) 2018, Siti Affiza Mohammad berkata, cadangan tersebut merupakan salah satu daripada tujuh resolusi yang dibawa sempena konvensyen tersebut yang ditandatangani 3,500 wanita.

Antara lain, katanya, mereka juga menggesa kerajaan mempergiatkan kempen kesedaran hak-hak wanita dalam peruntukan undang-undang , kesihatan, pendidikan dan politik.

“Selain itu, kami juga meminta kerajaan perlu mewujudkan satu sistem penguatkuasaan dan pemantauan berkesan bagi polisi dan undang-undang yang sedia ada.

“Kerajaan juga perlu menyelia majikan supaya sediakan insentif kewangan dan bukan kewangan bagi kesejahteraan wanita dan keluarga.

“Malah, kerajaan perlu mengiktiraf kos ekonomi bagi peranan wanita dan menyokong usaha-usaha pembangunan wanita dilakukan badan bukan kerajaan (NGO) tanpa diskriminasi dan birokrasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian semasa menghadiri konvensyen tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Tambahnya lagi, semua pihak juga perlu melaksanakan ‘Program Pemerkasaan Lelaki’ dari aspek agama, politik, ekonomi dan pendidikan demi kebahagiaan wanita dan kesejahteraan negara.

Jelasnya, peranan wanita perlu diberi perhatian kerana mereka merupakan komponen masyarakat yang penting dalam menentukan hala tuju negara.

“Dasar Wanita Negara menegaskan perlunya penyediaan persekitaran kondusif bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita.

“Melihatkan kepada perkara tersebut, Konwanis 2018 mengemukakan tujuh resolusi untuk perhatian kerajaan. Resolusi ini mewakili suara 3,500 wanita.

“Konwanis 2018 menggesa agar resolusi ini diambil kira dalam Pelan Tindakan Dasar Wanita Negara dan peruntukan dalam Bajet 2019 nanti,” ujarnya.

Konvensyen tersebut membincangkan pelbagai isu melibatkan wanita dengan membawa beberapa tokoh untuk membentangkan pelbagai kajian dan perkongsian ilmu bersama peserta.

Kira-kira 3,000 peserta menyertai program yang julung-julung kali diadakan anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dengan kerjasama Tarbiah Sentap, Sinar Harian dan Hijriahome. – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *