Home » Langit Terbuka » Banteras golongan tafsir al-Quran ikut logik akal

Banteras golongan tafsir al-Quran ikut logik akal

Yang di-Pertuan Agong bertitah, al-Quran tidak boleh ditafsir mengikut logik akal kerana ia memerlukan kefahaman yang mendalam dan tepat terhadap tafsiran isi kandungannya. - Foto Kosmo

KUANTAN – Tindakan segelintir individu yang mentafsir al-Quran mengikut logik akal demi kepentingan sendiri perlu dibanteras kerana ia boleh mendatangkan implikasi buruk kepada umat Islam di negara ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah, al-Quran tidak boleh ditafsir mengikut logik akal kerana ia memerlukan kefahaman yang mendalam dan tepat terhadap tafsiran isi kandungannya.

Titah baginda, Al-Quran adalah sumber rujukan yang menjadi penunjuk arah dalam kehidupan serta berupaya menangani pelbagai ancaman dan cabaran terhadap akhlak serta moral masyarakat kini.

“Jika golongan berkenaan dibiarkan ia boleh meruntuhkan akidah, meruntuhkan institusi keluarga serta menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Pentafsiran tepat adalah penting kerana sahsiah atau akhlak yang dibina berpaksikan al-Quran akan melahirkan masyarakat yang bertakwa dan bahagia di dunia serta akhirat.

“Justeru, saya menyeru semua masjid untuk menjadi pemudah cara bagi menyuburkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan umat Islam di negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan penutupan Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri Pahang kali ke-62 di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, di Kuantan.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, al-Quran adalah wahyu dan mukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad yang juga kitab suci terakhir diturunkan ke dunia.

“Membaca dan mempelajari al-Quran adalah satu ibadah manakala mempercayainya adalah wajib kerana ia pelengkap kepada kesempurnaan Rukun Iman.

“Mudah-mudahan umat Islam di negeri ini mencapai kejayaan dalam menjadikan al-Quran panduan dan pedoman hidup,” titah baginda.

Dalam majlis itu, qari dari Raub, Mohamad Syaheed Sabri, 27 yang juga Guru Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dinobatkan sebagai johan dengan menerima markah sebanyak 95 peratus.

Johan qariah pula disandang oleh Suhaili Mohd dari Jerantut yang juga kakitangan Hospital Jerantut memperoleh markah 92.5 peratus.

Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000, hadiah iringan dan sijil penyertaan, serta akan mewakili Pahang ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan April ini.

Majlis Tilawah al-Quran yang bertemakan Menyantuni Umat, Membawa Rahmat itu disertai seramai 28 qari dan qariah dari 14 daerah. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *