Home » Langit Terbuka » Dasar Kebersihan Negara digerakkan

Dasar Kebersihan Negara digerakkan

Dasar Kebersihan Negara menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut menumpukan kepada usaha agensi-agensi bertanggungjawab termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk melihat teknologi terkini, mempertingkatkan program-program berkaitan serta mendekati masyarakat bagi menerapkan aspek kebersihan negara. - Foto Sarawak Voice

CYBERJAYA  – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menggerakkan Dasar Kebersihan Negara dalam usaha mempertingkatkan kesedaran masyarakat awam tentang betapa pentingnya peranan mereka dalam kebersihan negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ke arah itu, kementerian menggariskan tiga hala tuju dalam pelaksanaannya termasuk usaha menjadikan sampah sebagai sumber penjanaan pendapatan merangkumi ‘circular economy’.

Seterusnya kata beliau, dasar baharu itu akan menjadi platform bagi menggerakkan kefahaman masyarakat tentang peranan yang harus dimainkan mereka dalam aspek kebersihan negara.

Dasar itu menurutnya, turut menumpukan kepada usaha agensi-agensi bertanggungjawab termasuk Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk melihat teknologi terkini, mempertingkatkan program-program berkaitan serta mendekati masyarakat bagi menerapkan aspek kebersihan negara.

“Saya ingat mulai dari sekarang kita ada tempoh masa tiga bulan untuk memulakan (dasar ini) dan ada panduan dari negara luar yang boleh dicontohi untuk dimasukkan bersama,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Ibu Pejabat SWCorp di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida menambah, kementerian mahu SWCorp memainkan peranan yang proaktif dan kreatif dalam memastikan masyarakat memahami aspek penjagaan kebersihan justeru, pihaknya akan menstruktur semula perbadanan berkenaan agar ia dapat lebih mendekati masyarakat.

Usaha itu katanya, termasuk memberi kefahaman kepada masyarakat tentang soal kebersihan negara dan circular economy sekali gus mempromosikan kaedah bagaimana sampah boleh menjadi punca pendapatan.

“Kita juga mahu meningkatkan imej pekerja yang terlibat dalam sektor pembersihan iaitu tukang sapu sampah serta tukang kutip sampah selain pihak konsesi dan SWCorp.

“Tanpa agensi-agensi ini untuk pastikan negara ini bersih, kita tidak akan mencapai status negara maju kerana sesebuah negara maju turut dinilai bagaimana sampahnya diurus,” katanya.

Sempena perasmian bangunan ibu pejabat SWCorp hari ini, beliau menjelaskan, kementerian berharap perbadanan itu lebih terbuka dengan idea-idea dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta daya kreativiti mereka dalam mendekati masyarakat. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *