Home » Langit Terbuka » Bantu 500 golongan memerlukan

Bantu 500 golongan memerlukan

Wakil wakil NGO pada program penyampaian pek sumbangan di Rumah Pangsa Bandar Seri Alam. - Foto YADIM

JOHOR BAHRU – Sebanyak 500 keluarga di seluruh Johor menerima sumbangan berbentuk keperluan harian serta kelengkapan Syawal tahun ini yang disumbangkan oleh beberapa NGO di negeri ini melalui program Infaq Rezeki.

Sumbangan itu dilaksanakan melalui inisiatif kolektif yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan melibatkan Kelab Inspirasi Negaraku Malaysia (Inspirasi Negaraku), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Johor, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan Kasih Sayang Aixin Malaysia.

Ia turut menerima sokongan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Pengerusi Inspirasi Negaraku, Zulhazri Abu Bakar berkata pek Syawal yang disumbangkan mengandungi keperluan harian selain juadah Hari Raya bagi keluarga asnaf selain ibu tunggal di seluruh negeri ini.

“Ini adalah satu inisiatif yang efektif kerana ia menggabungkan NGO untuk bekerjasama secara kolektif bagi membantu golongan yang memerlukan di Johor.

“Melalui kerjasama ini, kita dapat bergerak lebih meluas dan efisien berbanding melaksanakannya secara bersendirian dan inisiatif ini akan kami teruskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program penyampaian pek sumbangan di Rumah Pangsa Bandar Seri Alam di sini pagi tadi. Sebanyak 50 keluarga di perumahan ini menerima sumbangan pada 5 Mei.

Turut hadir, Pemangku Yang Dipertua DPMM Johor, Muhammed Farhan Basheer dan Pengarah YADIM Johor, Muhammad Ammar Abdullah.

Sementara itu, Muhammed Farhan berkata, melalui usahasama ini, pihaknya telah menggerakkan jentera untuk ke seluruh Johor bagi menyampaikan sumbangan sejak permulaan Ramadan.

“Keahlian kami di seluruh Johor memudahkan pergerakan sumbangan tanpa memerlukan kami merentas daerah dan ini sedikit sebanyak membantu perlaksanaan program kebajikan dengan mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Pengarah YADIM Johor, Muhammad Ammar Abdullah pula berkata sifat pelit dan bakhil amat dibenci Allah, apatah lagi di bulan Ramadan ini dan usaha ini membuktikan ukhuwah boleh turut dijalinkan sesama NGO.

“Kerjasama kolektif seumpama ini perlu disokong dan diberi pujian kerana ia membolehkan sumbangan dapat diagihkan lebih banyak dan tidak bertindih,” katanya.

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *