Home » Citra Yadim » Boleh boikot produk itu jika ……

Boleh boikot produk itu jika ……

BANGI – Sesuatu produk di pasaran itu sewajarnya diboikot umat Islam jika ianya adalah dikeluarkan oleh musuh musuh Islam.

Sekiranya ia bukan keluaran individu atau industri yang nyata bukan musuh Islam, maka tidak sewajarnya ianya diboikot, walaupun terdapat perbezaan pendapat, latar belakang ideologi dan sebagainya.

Gesaan ini merupakan antara dapatan dalam Wacana Rahmah ‘Buy Muslim First: Hakikat dan Implikasi Dakwah, Sosiopolitik dan Ekonomi dari Perspektif Pembangunan Negara Rahmah’ anjuran Nadwah Ulama dan Ilmuan Malaysia (NUIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini.

Wacana ini diadakan NUIM bagi mengumpulkan pendapat ilmuan dari pelbagai bidang tentang isu ‘Buy Muslim First’ yang kini menjadi fenomena kepenggunaan di negara ini.

Ia menampilkan Pengerusi Boycott, Divestment & Sanctions Malaysia, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Rahmah (MAWAR), Profesor Datuk Dr. Harlina Halizah Siraj dan Exco NUIM, Xifu Naser sebagai ahli panelnya.

Seorang lagi Exco NUIM, Dr. Nik Rahim Nik Wajis bertindak selaku moderator wacana ini.

Hadir sama ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz.

Dalam pada itu menurut Mohd Nazari, yang menyuarakan pandangan berkenaan ketika wacana ini, rakan rakan Cina dan India di negara ini yang menghasilkan produk masing masing, bukan dan tidak boleh dianggap sebagai musuh, hingga produk keluaran mereka  mahu diboikot.

“Tindakan memboikot hanya akan menjauhkan masyarakat bukan Islam dengan komuniti Islam, yang seterusnya akan menyukarkan hasrat untuk berdakwah.

“Sedangkan, adalah menjadi tanggungjawab seorang Muslim itu untuk mendekati golongan bukan Muslim bagi berdakwah dan menyampaikan kebaikan Islam,” ujarnya.

Sementara itu Xifu Naser pula menjelaskan, kempen kempen boikot ini sudah pasti akan mempunyai kesannya tersendiri, jika tidak pendek, mungkin pada jangka panjang kelak.

“Malah mungkin bukan kesannya dirasai di negara ini, kita tidak boleh tolak kemungkinan jika sebuah negara yang majoriti penduduknya bukan Islam, di Eropah contohnya, mendapat tahu mengenai kempen ini, mereka mungkin akan melakukan tindakan yang boleh datangkan kesan negatif pada komuniti Islam di sana yang jadi minoriti,”katanya.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *