Home » Langit Terbuka » Pegangan TH dalam TNB makin bertambah

Pegangan TH dalam TNB makin bertambah

Tabung Haji berkata, ia akan terus mengekalkan tahap tadbir urus yang tinggi dalam mentadbir dana yang dipertanggungjawabkan kepadanya. - Foto TMI

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak pernah melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik sejak tiga bulan lalu sebaliknya terus mengambil peluang untuk melabur dalam pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburannya.

Sepanjang tahun 2019, nilai ekuiti domestik TH telah meningkat sebanyak RM1.12 bilion daripada RM6.36 bilion pada penghujung 2018, kepada RM7.48 bilion, setakat 27 September lalu.

Pelaburan TH tertumpu kepada syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan serta rekod dividen yang baik, menjana pendapatan stabil dan patuh syariah, termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang merupakan di antara pegangan terbesar di dalam portfolio TH, katanya dalam kenyataan hari ini (30 September).

Secara keseluruhannya pegangan TH dalam TNB telah bertambah sebanyak RM304 juta sejak 18 bulan yang lalu.

TH berkata, bagi tahun 2019, ia juga tidak memiliki mahupun melupuskan pegangan saham dalam syarikat-syarikat seperti FGV Holdings Berhad, Lion Industries Corporation Berhad, T7 Global Berhad, Shin Yang Shipping Corporation, Brahim’s Holdings Berhad dan Cheetah Holdings Berhad seperti yang dilaporkan di media massa baru-baru ini.

Selain daripada ekuiti, TH kini giat dalam mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.

Menurutnya lagi, TH sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit dan melabur secara berhemah selaras dengan strategi alokasi aset yang mengutamakan pendapatan yang mampan buat jangka masa yang panjang dengan mengambilkira risiko yang bersesuaian.

Malah, TH akan terus mengekalkan tahap tadbir urus yang tinggi dalam mentadbir dana yang dipertanggungjawabkan kepadanya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *