Home » Analitis » Dosa Media Sosial

Dosa Media Sosial

Khamis antara hari paling sibuk bagi mereka yang tidak menang tangan menyebarkan lawak-lawak lucah gurauan malam Jumaat. Pelbagai gambar tanpa diketahui status sama ada isteri orang, anak dara si polan, ibu kandung individu A beserta dengan dialog jelik ditularkan.

Soalannya, jika terkena batang hidung sendiri atau mereka itu adalah darah daging atau saudara mara, sanggupkah berbuat demikian, tiada sekelumit perasaan marah? Jika tiada…bolehlah muat naik status ini ke dalam media sosial anda:

“Nanti bila tiba malam Jumaat minta jasa baik ambil gambar ibu atau isteri saya dan ciptakan lawak lucah malam Jumaat untuk gurauan. Apa salahnya jadikan gambar isteri atau ibu sendiri sebagai bahan lawak kerana jenaka adalah ubat terbaik untuk mengubati tekanan perasaan.”

Maaf cakap, jika ada manusia yang sanggup menyebut dialog di atas, itu tanda maruahnya sudah hilang atau akalnya perlu segera dirawat. Sekiranya semua manusia Muslim yang asyik tenggelam dengan penggunaan media sosial sedar tentang maruah orang lain seperti maruahnya sendiri, sudah pasti telefon pintar tidak lagi menjadi lubuk dosa tanpa sedar.

Sabda Rasulullah SAW: “Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu suka sesuatu kepada saudara kamu sama seperti apa yang kamu suka untuk diri kamu sendiri,” – Sahih Bukhari dan Muslim.

Tajuk, ‘Dosa Media Sosial’ ini dibincangkan dalam program live streaming Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Mutiara Minda dengan panelisnya, Pengacara/Penerbit Kanan Media Prima, Ahmad Fedtri Yahya; Pengacara/Penerbit RTM, Mohammed Shahril Sarapudin yang dikendalikan oleh Pegawai YADIM, Muzafar Abd. Rahim sebagai moderator.

YADIM: Berkaitan penularan pelbagai berita palsu, fitnah, tohmahan di media sosial, pihak berkuasa telah lakukan bermacam-macam untuk banteras tetapi ia masih berleluasa, kenapa?

FEDTRI: Masalahnya ramai apabila pegang sahaja handphone semuanya jadi bernafsu untuk mengambil bahagian, ini kerana ia adalah percuma. Jika kandungan ilmiah tiada sambutan, perlahan seperti siput. Kadang-kadang tajuknya juga tidak catchy berbanding dengan bahan-bahan panas yang hanya sekadar baca tajuknya sahaja sudah mengancam.

SHAHRIL: Media sosial sebenarnya penuh dengan misteri, jadi kena tanya kenapa perlunya anda sertai media sosial; nak cari kenalan, pengaruh, tambah pendapatan atau sekadar ingin lepaskan tekanan?

YADIM: Apa kaedah terbaik untuk elak fitnah media sosial?

FEDTRI: Dalam keadaan sekarang, panduan mudah ialah kena tabah dan kuat serta jangan mudah melenting, itu benchmark. Fitnah media sosial boleh dianggap sebagai ‘pembunuhan jarak panjang’ yang berterusan sepanjang zaman meskipun fitnahnya hanya dalam keadaan samar-samar. Amat sedih apabila ramai cari rezeki dengan menjual fitnah, ia menjadi ‘bahan bakar baharu’ iaitu dengan menjual maruah orang.

SHAHRIL: Apa yang berlaku dalam media sosial tidak akan dipadamkan oleh sejarah, hari ni buat salah dan minta maaf selepas berpuluh tahun generasi baharu masih boleh google kesalahan itu.
Ingatan saya, apa sahaja yang nak dimuatnaik, fikirlah dahulu. Orang terlalu ghairah berkongsi hingga mengatasi adab, bila berlaku kemalangan serius, perkara pertama terlintas bukannya hendak tolong tapi rakam video dahulu.

YADIM: Cadangan kepada pihak berkuasa?

FEDTRI: Ia bukan masalah Malaysia sahaja sebenarnya tetapi membelenggu seluruh dunia. Teknologi kejahatan bercambah-cambah, segalanya seiring dengan teknologi. Dahulu mana ada orang berani tengking menteri tapi sekarang ia boleh dilakukan hanya dengan ciapan dalam twitter sahaja.

YADIM: Ada pendapat mengatakan hukuman perlu dinaikkan untuk atasi masalah, apa pendapat?

SHAHRIL: Memang ramai yang mahukan hukuman tegar tapi kena ingat prosedurnya bukan semudah itu. Kerajaan kena perhalusi banyak aspek. Alternatif terbaik ialah kuatkuasakan akta sampingan lain yang telah sedia wujud. Sokongan masyarakat amat penting atau dengan kata lain ‘ahli jabatan netizen’, kita tidak boleh hanya harapkan kerajaan atau undang-undang semata-mata.

YADIM: Apa peranan kelompok masyarakat contohnya guru yang paling rapat dengan golongan sasar?

FEDTRI: Bukan terhad kepada kelompok tertentu sahaja tapi ia melibatkan semua pihak. Di sekolah, subjek tangani media sosial wajib jadi subjek penting dan perlu dimulakan daripada peringkat awal. Contohnya soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, “Jika difitnah dalam media sosial bagaimana untuk tangani ikut kewarasan iman”.

YADIM: Melalui media sosial boleh buat pahala dan dosa kerana nafsu tidak boleh dikawal. Untuk mengawal kena ada ilmu, jadi yang terbabas itu kerana malas menimba ilmu?

SHAHRIL: Ladang pahala dan dosa terhampar luas, terserah kepada kita. Kandungan baik like tak banyak tapi berkatnya ada. Tiada guna demi mengejar like tinggi menyebabkan kita hanyut. Kepada yang baca posting positif tolonglah hadiahkan like agar pemiliknya terus istiqomah.

FEDTRI: Media sosial bukan semuanya negatif. Seperti aliran sungai, ada ikan ada juga sampah sarap. Teknologi turut hadir dengan sampah. Durian sedap tapi ada durinya, herba bagus tapi bukan semuanya sesuai untuk individu. Kena tapis dan saring, ia memerlukan ilmu. Perlu jadi bijaksana untuk manfaatkan teknologi.

YADIM: Nasihat kepada masyarakat khususnya ahli-ahli jabatan netizen?

SHAHRIL: Jom sama-sama muhasabah diri, masih belum terlambat untuk perbaiki diri. Ingat firman Allah dalam ayat 65, Surah Yaasin yang boleh dijadikan pedoman: “Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan,”.

Tarmizi Abdul Rahim ialah mantan Ketua Meja Agama di Utusan Malaysia
Berpengalaman luas sebagai wartawan, kini menyumbangkan penulisannya di pelbagai platform.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *