Home » Langit Terbuka » Dr Mahathir selar Suu Kyi isu Rohingya

Dr Mahathir selar Suu Kyi isu Rohingya

Perdana Menteri berkata, Suu Kyi sebenarnya menindas penduduk itu (Rohingya) sehingga ke tahap membunuh mereka, pembunuhan secara besar-besaran

SINGAPURA – Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi cuba ‘mempertahankan sesuatu yang mustahil’ berhubung dakwaan pembunuhan beramai-ramai dilakukan tentera negara itu ke atas minoriti Islam Rohingya.

Ditanya selepas berucap di republik ini semalam, bagaimana Myanmar dan Suu Kyi menguruskan isu Rohingya, Dr Mahathir yang mengeluarkan kritikan tajam terhadap pemimpin Myanmar itu berkata: “Kelihatannya Aung San Suu Kyi cuba mempertahankan apa yang mustahil dipertahankan.

“Mereka sebenarnya menindas penduduk itu sehingga ke tahap membunuh mereka, pembunuhan secara besar-besaran. Kami amat kecewa kerana seseorang yang pernah ditahan sebelum ini, tahu mengenai kesengsaraan, tidak seharusnya menyakiti pihak lain.”

Suu Kyi yang menyertai sidang kemuncak pemimpin ASEAN di republik ini, dikritik secara meluas terhadap cara beliau menguruskan krisis etnik minoriti berkenaan.

Dr Mahathir dan Suu Kyi duduk bersebelahan dalam upacara pembukaan sidang kemuncak ASEAN dan dalam majlis makan malam. Liputan televisyen menunjukkan mereka tidak bertegur antara satu sama lain.

Satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Ogos lalu memperincikan tindakan keras tentera dengan tujuan genosid bermula tahun lalu dan memaksa lebih 700,000 Muslim Rohingya dari Rakhine lari ke Bangladesh. Myanmar menafikan dakwaan dalam laporan terbabit.

Suu Kyi sebelum ini berkata, kerajaan awam pimpinannya tidak seharusnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam krisis itu kerana tentera mengekalkan peranan utama politik mengikut perlembagaan.

Negara Asia Tenggara itu akan mengeluarkan gesaan siapa yang bertanggungjawab atas pembunuhan di Rakhine, Myanmar, dipertanggungjawabkan sepenuhnya, menurut kenyataan disediakan untuk sidang kemuncak serantau, mencerminkan pendirian lebih kukuh diambil dalam kumpulan. – Reuters

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *