Home » Citra Yadim » MDN bangunkan pelancongan ibadah.

MDN bangunkan pelancongan ibadah.

JELI – Majlis Dakwah Negara (MDN) sedang dalam usaha membangunkan pakej pelancongan ibadah di daerah Jeli dan kawasan sempadan Malaysia- Thailand.

Pengarah Kanan Sekretariat MDN, Kapten Shamsuddin Moner berkata, usaha berkenaan adalah berikutan dengan pengambilalihan Pusat Dakwah Jeli oleh MDN yang akan dibangunkan sebagai sebuah pondok moden.

Beliau berkata, pusat berkenaan bukan sekadar menjadi pondok pengajian tetapi juga akan dibangunkan sebagai sebuah produk pelancongan berkonsepkan ibadah dan keilmuan kepada para pengunjung.

“Daerah Jeli dan kawasan sempadan Malaysia-Thailand mempunyai potensi besar untuk dijadikan produk pelancongan berasaskan ibadah dan ilmu memandangkan kawasan berkenaan mempunyai pondok-pondok pengajian dan tarikan-tarikan yang lain,’’ katanya.

Jelasnya, melalui produk pelancongan ibadah berkenaan, MDN merancang untuk menyediakan satu pakej yang menyediakan bukan sahaja lawatan-lawatan tetapi juga pengisian ilmu di pondok-pondok berkenaan.

Beliau berkata, pengenalan produk sedemikian mampu memberikan impak besar kepada pondok-pondok pengajian berkenaan terutama dari segi penjanaan ekonomi yang secara tidak langsung meningkatkan infrastruktur institusi berkenaan.

Menyentuh mengenai pengambilalihan Pusat Dakwah Jeli oleh MDN, beliau berkata, pusat berkenaan akan dibangunkan sebagai pondok moden yang menyediakan pengajian agama, tahfiz dan kemahiran hidup seperti pertanian.

MDN sebelum itu telah mengadakan program gotong-royong membersihkan Pusat Dakwah Jeli pada Sabtu lepas dengan kerjasama Sahabat YADIM Universiti Malaysia Kelantan (UMT).

Selain itu, MDN juga telah mengadakan program ziarah di Maahad Tahfiz Che Din, Buketa, Thailand dan perkampungan Chulaborn, Sukhirin, yang merupakan sebuah kampung yang dibina oleh kerajaan Thailand khusus untuk bekas-bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM).
Sementara itu, seorang pengajar maahad berkenaan, Ismail Che Hassan berkata, idea mewujudkan pelancongan ibadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand adalah sesuatu yang sangat dialu-alukan.

Katanya, cadangan itu akan memberikan kesan yang besar kepada kawasan selatan Thailand yang didiami oleh majoriti penduduk Islam negara berkenaan.

“Saya melihat usaha berkenaan bukan sekadar satu usaha ekonomi semata-mata tetapi membawa erti yang besar kepada persaudaraaan Islam secara keseluruhannya,’’ katanya.

Beliau berkata, umat Islam di kawasan sempadan juga kebanyakannya mempunyai ikatan persaudaraan dan mereka selama ini terpisah oleh sempadan politik dan geografi.

Ismail percaya dengan adanya pakej pelancongan ibadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand akan menyebabkan tautan persaudaraan Islam itu bertambah kuat dan utuh di antara penduduk di kedua-dua negara.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *