Home » Langit Terbuka » Dr. Mahathir tubuh Majlis Tindakan Ekonomi

Dr. Mahathir tubuh Majlis Tindakan Ekonomi

Senarai ahli Majlis Tindakan Ekonomi - Foto Utusan Malaysia

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi bertujuan meneliti serta membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memberitahu, majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu terdiri daripada 16 ahli merangkumi beberapa menteri Kabinet, tokoh-tokoh ekonomi serta pemimpin-pemimpin industri.

“Majlis ini ditubuhkan bagi menyahut dan bertindak atas maklum balas rakyat terhadap masalah yang mereka hadapi, khususnya dalam bidang ekonomi.

“Matlamat utama Majlis ini adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” jelas Pejabat Perdana Menteri.

Dr. Mahathir sebelum ini memberitahu kerajaan bersetuju untuk menubuhkan satu badan yang akan meneliti dan membuat keputusan berhubung ekonomi negara seperti peranan yang pernah dijalankan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sebelum ini.

Beliau berkata, kerajaan me­mastikan semua masalah ekonomi rakyat dan negara akan dibawa kepada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, majlis tersebut juga akan meneliti isu-isu berkaitan kos sara hidup, guna tenaga, kemiskinan dan pemilikan rumah.

Katanya, pelantikan ahli-ahli majlis terlibat berkuatkuasa serta-merta.

“Sekretariat bagi majlis ini adalah Unit Penyelarasan Perlaksanaan di Jabatan Perdana Menteri,” jelas kenyataan tersebut. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *