Home » Langit Terbuka » Fatwa sepatutnya mengikat

Fatwa sepatutnya mengikat

KUALA LUMPUR 31 Julai – Fatwa yang diwartakan di peringkat negeri adalah undang-undang Islam yang sah dan sewajarnya menjadi rujukan dan panduan dalam membuat penghukuman yang melibatkan kepentingan Islam termasuk da­lam soal nasab kanak-kanak.

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, perkara ter­sebut adalah sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada kerajaan-kerajaan negeri mengurus dan mentadbir hal ehwal agama Islam yang juga agama Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berpandangan, pihak mahkamah sepatutnya terikat kepada fatwa kerana perkara berkaitan hal ehwal agama Islam termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam Perlembagaan mengatakan Islam sebagai agama Persekutuan dan setiap negeri boleh mengurus undang-undang Islam.

“Pada pandangan saya, ini bukan soal mempertikaikan keputusan mahkamah. Dalam Perlembagaan, agama Islam diguna pakai, jadi mengapa menafikan langsung fatwa?,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Projek Residensi Rah Kampung Baru di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan anak tidak sah taraf boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Bagaimanapun, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan dan mengekalkan penggunaan nama Abdullah sebagai bin atau binti anak tidak sah taraf sementara me­nunggu keputusan selanjutnya.

Sementara itu, Harussani ber­kata, langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi menangani isu terbabit adalah dengan kembali kepada undang-undang Islam.

“Jika perbicaraan tersebut ber­kaitan orang Islam maka perlulah ikut undang-undang Islam dan bukannya undang-undang sivil,” jelasnya.- www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *