Home » Langit Terbuka » Festival Ummatic 2.0 himpun selebriti dakwah

Festival Ummatic 2.0 himpun selebriti dakwah

Objektif penganjuran Festival Ummatic 2.0 bertujuan menjadikan masjid sebagai ‘one stop center’, bukannya sekadar tempat ibadah dan kuliah semata mata serta menyebarkan rahmah untuk semua.

IPOH – Festival Ummatic 2.0 (Ummatic 2.0) yang dijadualkan pada 4 hingga 6 Oktober ini di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati di sini bakal menghimpunkan beberapa selebriti dakwah sebagai tarikan untuk orang ramai menghadirinya.

Acara berkonsepkan karnival keislaman itu akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusuf manakala majlis penutupnya pula disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd. Hatta Ramli.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam negeri, Asmuni Awi berkata, Ummatic 2.0 merupakan anjuran bersama Masjid Muhammad Al Fateh, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan kerajaan negeri Perak.

Menurut beliau, objektif penganjurannya bertujuan menjadikan masjid sebagai ‘one stop center’, bukannya sekadar tempat ibadah dan kuliah semata mata serta menyebarkan rahmah untuk semua.

“Ia juga bagi melahirkan rasa kecintaan terhadap masjid dan menjadikannya sebagai rumah kedua selain mengukuhkan ikatan silaturrahim dan saling hormat menghormati serta memupuk semangat kejiranan antara kaum.

“Kita menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung, malah amat mengalu-alukan kehadiran pengunjung pelbagai kaum. Program ini dalam usaha kita promosikan Islam itu sebagai Rahmatan Lil Alamin.” ujarnya pada sidang akhbar berhubung penganjuran Ummatic 2.0 di pejabatnya di sini.

Turut hadir Setiausaha Pelaksana Festival Ummatic 2.0, Mohamad Nazrin Abdul Kahar yang juga Pengerusi Kelab Belia Al-fateh.

Jelas Asmuni, pelbagai acara disusun sepanjang karnival itu yang bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam seperti forum ehwal Islam dan wacana ilmu, ekspo produk muslim, program sukan dan remaja serta pameran pelbagai agensi kerajaan.

“Forum perdana pula akan menampilkan Ustaz Nik Omar Nik Aziz dan Ustaz Roslan Roslan Mohamed yang juga merupakan panelis di stesen TV3 dan TV9 dan pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Syarifah Hayati Syed Ismail.

“Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan turut bersama pada program diberi nama ‘Dad’s/Men Teh Tarik’,” ujarnya.

Orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan oleh artis jemputan iaitu Heliza dan Hazwani Helmi dan kumpulan In Team.

Selain peluang bertemu selebriti dakwah, Ummatic 2.0 juga padat dengan aktiviti lain seperti senam seni, pertandingan permainan elektronik Mobile Legend, acara memanah dan berkuda, pemeriksaan kesihatan dan demonstrasi motosikal berkuasa tinggi. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *