Home » Langit Terbuka » Ganding bahu bangunkan negara

Ganding bahu bangunkan negara

Jelas Perdana Menteri, kerajaan boleh ditadbir dengan baik, berjimat cermat, berdisiplin dan mengawal nafsu tetapi perkara tersebut juga perlu diiringi dengan peranan penting setiap rakyat

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan rakyat perlu bersama-sama berganding­ bahu bagi membangun dan memulihkan semula negara dalam usaha menjadi sebuah negara maju.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2018, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, walaupun tugas mengembalikan kecemerlangan negara disifatkan amat berat, namun tiada kuasa yang mampu menghalang gandingan kukuh antara rakyat dengan pemerintah.

Jelas beliau, kerajaan boleh ditadbir dengan baik, berjimat cermat, berdisiplin dan mengawal nafsu tetapi perkara tersebut juga perlu diiringi dengan peranan penting setiap rakyat.

“Kita sudah lihat bagaimana negara yang telah kalah dan hancur dalam peperangan dapat memulihkan negara sehingga dalam masa yang singkat dapat kembali maju kerana semangat dan usaha oleh rakyat dan pemerintah.

“Kita juga mampu. Kita juga boleh memulihkan semula negara. Insya-Allah dengan tindakan yang sedang dan akan diambil kerajaan termasuk proses urus tadbir baik, berjimat cermat, berdisiplin dan mengawal nafsu, negara akan sihat semula,” kata­nya dalam perutusan yang disiarkan televisyen tempatan.

Dr. Mahathir berkata, usaha kerajaan untuk mengurangkan hutang semakin membuahkan ha­sil dengan jentera pentadbiran telah dapat dipulihkan semula.

“Walaupun masih sedikit tetapi pencapaian dalam mengurangkan hutang sudah nampak. Kerosakan jentera pentadbiran juga telah dapat dipulih semula. Jikalau kerajaan tidak mampu hulur wang seperti dahulu, sebabnya ialah pembaziran yang telah dilakukan terdahulu menjejaskan proses pemulihan,” ujar beliau.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan menggunakan pendekatan lebih baik dengan mewujudkan lebih ba­nyak peluang pekerjaan dan perniagaan dengan pendapatan lebih memuaskan menerusi hasil titik peluh sendiri serta halal.

Sehubungan itu beliau berkata, kerajaan akan memberikan pendidikan dan latihan serta biasiswa, selain meningkatkan kepakaran pekerja supaya pendapatan rakyat bertambah.

“Kita akan naikkan upah me­ngikut kemampuan. Tetapi yang perlu diingatkan ialah kenaikan upah tidak bermakna juga kos sara hidup naik bersama.

“Untuk menentukan kenaikan upah menambah daya beli, produktiviti perlu ditingkatkan melalui cara pengurusan yang lebih cekap, peningkatan kecekapan pekerja, penggunaan mesin, robotik dan automasi serta tambahan pelaburan oleh majikan.

“Kerajaan juga akan memberi insentif dan hadiah kepada mereka yang berjaya meningkatkan produktiviti dengan kos te­rendah, namun dalam masa sama kenaikan harga hasil perusahaan hendaklah dikawal,” kata beliau. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

Ulama galakkan kesederhanaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Majlis Ulama Asia memainkan peranan penting dalam mempromosi kesederhanaan melalui tafsiran teks agama yang seimbang, memperjuang toleransi dan membimbing umat

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *