Home » Langit Terbuka » Gubal undang-undang kawal iklan komersialisasi agama

Gubal undang-undang kawal iklan komersialisasi agama

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara berkata, sudah tiba masanya undang-undang seumpama itu diadakan berikutan penularan iklan-iklan barangan yang dipromosi secara agresif sempena musim perayaan. - Foto Utusan Malaysia

PUTRAJAYA – Undang-undang kawalan pengiklanan dan promosi perayaan agama perlu digubal bagi membendung gejala pengkomersialan agama.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sudah tiba masanya undang-undang seumpama itu diadakan berikutan penularan iklan-iklan barangan yang dipromosi secara agresif sempena musim perayaan.

Menurutnya, kaedah promosi sedemikian dilihat telah menenggelamkan roh bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami mendapati Ramadan dan sambutan Aidilfitri telah dieksploitasi sepenuhnya oleh komersialisasi yang sewenang-wenangnya dilancar oleh pengusaha. Akibatnya tujuan ibadah berpuasa yang dituntut agama telah dicemari oleh keghairahan untuk berbelanja dan melayan keinginan nafsu membeli.

“Natijah lebih parah adalah pengguna tidak cermat dalam mengguna lalu cenderung untuk membazir. Pembuangan makanan sangat berleluasa dibulan Ramadhan terutama di restoran dan hotel,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Sementara itu, Mohd. Azmi berkata, cadangan untuk mewujudkan undang-undang itu telah pun dipanjangkan kepada perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, undang-undang sama turut dikuatkusakan di Sri Lanka yang antara lain melarang sebarang promosi berlebihan tentang perayaan agama kerana mereka tidak mahu gejala pengkomersialan agama.

Sehubungan itu, adalah penting bagi undang-undang itu digubal di negara ini lebih-lebih lagi dengan fenomena pesta makanan sempena Ramadan yang dilihat berleluasa kini sekali gus menjurus kepada pembaziran.

Tegas Mohd. Azmi, peraturan juga harus digubal untuk membentaras pembuangan makanan di restoran dan hotel mahupun di majlis-majlis rasmi.

“Pendidikan hidup sederhana dan berasaskan keperluan hendaklah dipupuk dari peringkat sekolah lagi.

“Kami kesal sementara import makanan mencecah lebih RM45 bilion setahun, rakyat membazir makanan bernilai ratusan juta ringgit. Pendekatan kawal diri dan peraturan undang-undang perlu dilaksana secara serentak,” katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *