Home » Langit Terbuka » Himpunan suara hasrat lebih 5,000 guru agama Johor

Himpunan suara hasrat lebih 5,000 guru agama Johor

DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) diiringi Exco Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim (tujuh dari kanan) bergambar bersama guru agama ketika majlis Himpunan Muafakat Guru Agama Kerajaan Johor di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Pasir Gudang. - Foto : Berita Harian

PASIR GUDANG: Perhimpunan Permuafakatan Menteri Besar bersama Guru Agama Kerajaan Johor, hari ini, dihadiri hampir 5,000 tenaga pengajar selain menjadi medan menyuarakan hasrat bagi menambah baik mutu pendidikan agama di negeri itu.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin, yang turut menyampaikan ucapan serta amanat kepada semua guru agama yang hadir pada perhimpunan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama negeri, Abd Mutalip Abd Rahim, berkata bagi menyokong perkhidmatan perguruan agama untuk terus efisyen dan produktif, beberapa hasrat dan permintaan guru diharap dapat dipertimbangkan pucuk kepemimpinan negeri.

Katanya, antara permintaan mereka adalah menyelaras semula elaun guru Kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) yang mengajar tiga jam kepada empat setengah jam membabitkan seramai 1,850 guru menikmati elaun kerajaan negeri iaitu RM512, manakala 150 lagi menerima elaun RM900 daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kedua, menaikkan elaun guru Darjah Khas membabitkan seramai 1,125 guru dari RM60 kepada RM100 yang mana kali terakhir kerajaan negeri meluluskan kenaikan ini ialah pada tahun 2007 iaitu dari RM40 kepada RM60.

“Hasrat lain antaranya mewujudkan skim perjawatan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Gred S19 kepada guru Tadika Islam Johor (TAJ), di mana kerajaan negeri pernah meluluskan perjawatan guru TAJ dalam skim Perkhidmatan Pendidikan Bukan Siswazah (Gred DB17), namun pada 2013 perjawatan ini dijumudkan.

“Mereka juga memohon Skim Elaun Insentif Khas Pentadbir Pendidikan Islam Negeri Johor (Pegawai Perkhidmatan Siswazah) gred DG41 dan ke atas sebagaimana yang dinikmati oleh kakitangan awam kerajaan Johor, Pegawai Tadbir Negeri (JCS) dan Pegawai Tadbir Agama Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Permuafakatan Guru Agama yang dihadiri lebih 4,000 guru agama di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini.

Yang turut hadir, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Muhammad Fuad Radzuan.

Abd Mutalip berkata, statistik terkini bilangan guru agama kerajaan Johor keseluruhannya adalah seramai 4,547 orang termasuk guru KAFA dan TAJ, manakala guru Sekolah Menengah Agama adalah seramai 790 orang.

Dalam perkembangan lain, Abd Mutalip turut memaklumkan bermula tahun ini kerajaan Johor akan memperkenalkan Kurikulum Standard Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) 2018 hingga 2022 yang sudah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

“Perubahan isi kandungan kitab yang digunakan sebagai rujukan bagi proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) akan diperbaharui selari dengan kurikulum SAKJ dalam tempoh 10 tahun,” katanya. – BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *