Home » Langit Terbuka » Hina Agong: Doktor Klinik Mediviron letak jawatan

Hina Agong: Doktor Klinik Mediviron letak jawatan

Kumpulan Klinik Mediviron dalam satu kenyataan menjelaskan pihak pengurusan klinik itu berasa kecewa dengan komen yang dibuat oleh Dr. Rupesh yang disifatkan berkemungkinan mengguris perasaan dan sensitiviti warganet. - Foto Facebook

KUALA LUMPUR – Setelah satu demi satu kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong tular dalam media sosial, kini seorang doktor pula yang berkhidmat di Klinik Mediviron cawangan Kajang dilaporkan telah meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Ini berikutan Dr. M. Rupesh didakwa telah mengeluarkan komen seolah-olah menghina Sultan Muhammad V dalam laman Facebook beliau, baru-baru ini.

Kumpulan Klinik Mediviron dalam satu kenyataan menjelaskan pihak pengurusan klinik itu berasa kecewa dengan komen yang dibuat oleh Dr. Rupesh yang disifatkan berkemungkinan mengguris perasaan dan sensitiviti warganet.

Jelas kenyataan itu, komen Dr. Rupesh dilakukan atas kapasiti peribadi beliau dan tidak mencerminkan apa juga pendapat dan penilaian kakitangan serta pengurusan Klinik Mediviron.

“Nilai-nilai yang kami tanamkan selama 33 tahun dalam memberikan perkhidmatan terbaik oleh doktor dan jururawat kami meliputi pelbagai kaum dan masyarakat di negara ini. Malah, sebagai rakyat Malaysia, kami sentiasa berlandaskan kepada prinsip Rukun Negara.

“Dr. Rupesh telah memohon maaf atas komen yang dibuat dalam akuan Facebook beliau sendiri dan beliau juga bersetuju untuk bertanggungjawab sepenuhnya.

“Beliau telah melepaskan jawatannya sebagai doktor di Klinik Mediviron Jalan Raja Harun, Kajang dengan serta-merta,” jelas Kumpulan Klinik Mediviron dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook klinik itu hari ini.

Akibat marah dengan tindakan Dr. Rupesh, rata-rata warganet menyerang laman Facebook Klinik Mediviron dengan mendesak tindakan tegas diambil terhadap doktor terbabit.

Sebelum ini, beberapa individu di laman media sosial termasuk Eric Liew dikecam kerana didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Sultan Muhammad V berhubung perletakan jawatan Seri Paduka Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *