Home » Langit Terbuka » Industri halal kekal berdaya tahan walaupun hadapi tempoh mencabar – HDC

Industri halal kekal berdaya tahan walaupun hadapi tempoh mencabar – HDC

Unjuran awal pada 2020, eksport Halal tahunan Malaysia akan mencapai anggaran sebanyak RM50 bilion, kata HDC. - Foto Usahawan.com

KUALA LUMPUR – Industri Halal terus menunjukkan daya tahan berdasarkan asasnya yang kukuh dalam persekitaran harga minyak mentah semasa yang turun naik dan krisis COVID-19, menurut Halal Development Corporation Bhd (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffein Sahari berkata HDC menyasarkan untuk terus menambah bahagian pasaran Malaysia melalui program strategiknya di tengah-tengah cabaran ini.

“Kami melihat terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan, terutamanya dalam landskap pengeksport Malaysia tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdapat sebanyak 1,876 pengeksport Halal pada 2019 berbanding 1,827 dicatatkan pada 2018, mewakili 2.7 peratus peningkatan pertumbuhan.

Sebahagian besar eksport tempatan diwakili oleh industri kecil dan sederhana sebanyak 1,430 syarikat, lebih 75 peratus daripada jumlah saiz, dengan syarikat multinasional membentuk baki jumlah pengeksport, katanya.

“Unjuran awal pada 2020, eksport Halal tahunan Malaysia akan mencapai anggaran sebanyak RM50 bilion,” kata Hairol Ariffein, sambil menambah industri Halal dijangka menyumbang kira-kira 7.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2020.

Menurut statistik HDC, makanan dan minuman Halal kekal pada kedudukannya sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Halal tempatan sebanyak RM22.05 bilion pada 2019, diikuti bahan Halal dengan sumbangan sebanyak RM12.64 bilion, kosmetik dan penjagaan diri (RM2.95 bilion), derivatif minyak sawit (RM1.26 bilion), bahan kimia industri (RM917.2 juta) dan farmaseutikal (RM400.9 juta).

Hairol Ariffein berkata analisis sentimen HDC menunjukkan potensi ekonomi industri Halal sebahagian besarnya bertanggungjawab kepada menggalakkan pelaburan asing dan domestik, terutamanya dalam pengeluaran minyak sawit.

“Peningkatan harga minyak sawit mentah Malaysia yang ketara untuk satu tan antara faktor utama kepada prestasi industri Halal pada 2019, berikutan industri mengalami pembetulan pasaran melalui kenaikan lebih 20 peratus berbanding 2018,” katanya.

Selain itu, kepelbagaian minyak sawit sebagai bahan Halal untuk produk makanan dan bukan makanan serta komitmen kerajaan terhadap standard Minyak Sawit Mampan Malaysia telah menjana minat global yang ketara terhadap eksport derivatif minyak sawit, menjadikannya komponen yang sesuai kepada pengeluar Halal.

Mengenai masa depan, katanya sebagai sekretariat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, HDC memegang peranan penting dalam pembangunan ekonomi Halal dan bersedia untuk mewujudkan hubungan antara Malaysia dan ekosistem Halal negara lain.

“Kami akan menghubungkan ekosistem Halal Malaysia ke seluruh dunia dan menjangka usaha ini akan mewujudkan peluang kepada penggiat industri dan pihak-pihak dalam ekosistem tersebut dengan tumpuan kepada perdagangan, pelaburan, pekerjaan yang berkualiti dan pertukaran teknologi,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *