Home » Langit Terbuka » Inisiatif Bas Wanita dialu-alukan

Inisiatif Bas Wanita dialu-alukan

Anthony Loke (tiga dari kiri) semasa pelancaran bas khas wanita laluan Kuala Lumpur - Seremban, inisiatif yang sangat dialu alukan MAWAR -YADIM.- Foto NSTP

Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) mengalu-alukan inisiatif Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke yang mengarahkan syarikat bas ekspres menyediakan bas khas untuk wanita bagi laluan Kuala Lumpur – Seremban.

Langkah ini bagi memastikan keselesaan dan keselamatan wanita yang menggunakan bas ekspres ke tempat kerja di waktu puncak.

Sebelum ini koc khas wanita sudahpun disediakan oleh perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB). Inisiatif penyediaan koc dan bas khas untuk wanita juga diamalkan di negara lain seperti Jepun dan Pakistan.

Langkah ini amat bermakna bagi golongan wanita yang menyumbang untuk pembangunan negara. Ini juga menyerlahkan sifat cakna kerajaan kepada golongan wanita. Ciri inilah yang kita mahukan dalam sebuah negara rahmah, contoh teladan bagi dunia.

Tahniah dan terima kasih kepada YB Anthony Loke di atas inisiatif Kementerian Pengangkutan yang mesra wanita ini.

Walaupun pelaksanaan ini hanya untuk kemudahan penumpang bas wanita yang bekerja berulang alik dari Seremban ke Lembah Kelang sahaja tetapi sebenarnya ia memperlihatkan kerajaan hari ini lebih mesra wanita, peka dan prihatin serta memberi perhatian serius terhadap kedudukan wanita, khususnya dalam aspek keselamatan.

Bas khas untuk wanita ini membolehkan wanita menaiki pengangkutan awam dengan selesa, selamat dan tidak perlu lagi bersaing secara fizikal dengan kaum lelaki.

Kajian juga boleh dibuat sekiranya ada keperluan untuk memperluaskan pelaksanaan bas khas untuk wanita bagi perjalanan di seluruh negara terutama pada waktu-waktu musim perayaan. Ini kerana perjalanan yang jauh dan mengambil masa yang lama terutama perjalanan malam, tentulah wanita lebih terdedah kepada gangguan emosi malah kebolehjadian berlaku gangguan seksual bilamana penumpang lelaki duduk bersebelahan dalam keadaan lampu bas yang dipadamkan.

Inisiatif sebegini membuktikan bahawa usaha mempromosi dan membela hak serta kepentingan wanita boleh dilaksanakan oleh semua pihak tanpa mengambilkira gender yang tidak terbatas kepada pemimpin wanita sahaja.

Majlis Perundingan Wanita Rahmah – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
MAWAR-YADIM
16 Jun 2019/12 Syawal 1440

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *