Home » Langit Terbuka » Jangan beri alasan remeh elak vaksin – Mufti Kedah

Jangan beri alasan remeh elak vaksin – Mufti Kedah

Mufti Kedah menegaskan orang ramai tidak boleh terpengaruh dengan pandangan yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. - Foto Reuters

Alor Setar: Orang ramai diingatkan agar tidak memberi alasan remeh untuk tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana ia akan menimbulkan kesulitan kepada pihak lain.

Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, ini kerana agama menuntut umat Islam untuk melindungi diri daripada sesuatu yang memudaratkan seperti virus Covid-19.

Beliau berkata, ia antara lima maqasid syariah iaitu menjaga nyawa dan seterusnya memberi kebaikan kepada orang ramai.

“Kita tidak boleh terpengaruh dengan pandangan boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat, jadi saya minta orang ramai terutama penduduk di Kedah yang sudah mendaftar supaya hadir ke PPV pada tarikh janji temu.

“Jangan beri alasan remeh untuk menarik diri daripada menerima suntikan vaksin kerana ia akan menyukarkan pihak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, pada 6 Jun.

Fadzil turut menasihatkan agar orang ramai tidak mengulangi kesilapan segelintir masyarakat ketika sambutan Aidilfitri lalu kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

“Marilah kita sama-sama amalkan kawalan pergerakan kendiri dan tidak menyertai aktiviti berisiko selain tidak menerima tetamu ke rumah bagi mengekang jangkitan Covid-19,” katanya. – Harian Metro

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *