Home » Langit Terbuka » Jangan bimbang beli keropok udang

Jangan bimbang beli keropok udang

Hasil pemeriksaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), mendapati enam jenama keropok udang mempunyai sijil halal yang sah dan hanya satu jenama yang tidak mempunyai persijilan halal. Foto : https://www.newpages2u.com

IPOH 10 Jan. – Hanya satu jenama produk keropok udang yang dipasarkan di Perak tidak mempunyai pensijilan halal manakala enam lagi produk keropok itu mempunyai pensijilan halal yang sah.

Perkara itu disahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak selepas mengadakan pemeriksaan susulan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) sepanjang lebuhraya di Perak serta kawasan tumpuan orang ramai.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan, KPDNKK Perak menyerbu premis menggoreng dan membungkus keropok udang di Lawan Kuda, Gopeng kerana menggunakan logo halal rekaan sendiri tanpa pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pada Khamis lalu.

Difahamkan, premis itu dijadikan tempat untuk menggoreng keropok mentah yang diperoleh dari Indonesia dan dibungkus di premis berkenaan sebelum dipasarkan di R&R sepanjang laluan Tapah hingga ke Tanjung Malim.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Perak, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil pemeriksaan dijalankan terhadap 65 premis di seluruh negeri ini mendapati enam produk keropok udang yang dijual mempunyai pensijilan halal yang sah.

“Kesemua enam produk ini adalah daripada pengeluar yang berbeza dan pemeriksaan mendapati logo halal yang digunakan adalah mendapat kebenaran JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan Majlis Agama Negeri.

“Rekaan bungkusan enam keropok udang ini adalah hampir sama dengan produk yang dirampas sebelum ini iaitu dengan menggunakan warna sama serta terdapat imej seekor udang pada bahagian hadapan bungkusan,” katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK Perak di Ipoh, hari ini.

Shamsul Nizam berkata, hasil pemeriksaan dijalankan KPDNKK juga mendapati produk keropok udang yang diambil tindakan sebelum ini tidak lagi dijual di pasaran.

Katanya, justeru itu, pengguna tidak perlu bimbang mengenai produk keropok udang yang berada di pasaran seluruh Perak pada masa ini kerana ia mempunyai pensijilan halal yang sah.- HARIAN METRO

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *