Home » Langit Terbuka » Jangan melampau buat andaian mengenai ICERD – Mujahid

Jangan melampau buat andaian mengenai ICERD – Mujahid

menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, andaian yang mengatakan bahawa sekiranya kerajaan menandatangani perjanjian antarabangsa itu akan menyebabkan hak orang Melayu terhapus, Raja dan Islam akan tergugat adalah sama sekali tidak benar

KEPALA BATAS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat andaian melampau membabitkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sehingga ia boleh mencetuskan persepsi negatif dan keretakan hubungan antara kaum.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu, berkata andaian yang mengatakan bahawa sekiranya kerajaan menandatangani perjanjian antarabangsa itu akan menyebabkan hak orang Melayu terhapus, Raja dan Islam akan tergugat adalah sama sekali tidak benar.

Katanya, ICERD tidak akan sesekali mengubah entiti sesebuah negara yang ada dari sudut Perlembagaan Persekutuan, kebudayaan dan apa juga perkara berkaitan negara berkenaan.

“Justeru kita bimbang dalam keghairahan ramai pihak mengenai isu ini ada yang cuba menggambarkan dengan fakta tidak betul dan tepat.

“Seperti mana andaian bahawa jika ditandatangani perjanjian ini maka hak orang Melayu akan terhapus, Raja dan agama Islam tergugat, ia tidak betul yang mana persepsi ini perlu dihentikan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan.

 

Mujahid berkata, pihaknya akan mengadakan rundingan meja bulat bagi berbincang dan mengambil pandangan dari semua pihak berhubung isu ICERD itu.

“Dalam rundingan berkenaan ia akan dihadiri semua badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi mendapatkan input termasuk melihat kandungan memorandum yang dihantar oleh pelbagai pihak bagi membolehkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendapatkan maklumat lengkap dan gambaran jelas.

“Kita mengambil nasihat daripada Tun Mahathir supaya tidak akan menandatangani mana-mana perjanjian antarabangsa selagi ia tidak mendapat rundingan semua pihak.

“Jadi ia bermakna perkara ini akan dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan dan mendapat persetujuan semua pihak sebelum dilaksanakan,” katanya.

Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia, termasuk melaksanakan ICERD pada suku pertama tahun depan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberitahu bahawa Kabinet belum membincangkan secara terperinci proses ratifikasi ICERD, namun beliau memberi jaminan isu terbabit akan dibincangkan di Kabinet.

Dalam perkembangan lain, Mujahid mengakui berlaku kegiatan mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata, sejurus perkara berkenaan tersebar, beliau sudah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong untuk kesahihan.

Katanya, pihak yang berbuat demikian dipercayai wakil daripada NGO namun tidak mewakili gereja dan persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.

“Dalam soal ini, saya nasihatkan supaya jangan menimbulkan masalah kerana kita perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan, kita siasat sama ada Bible itu diedarkan kepada umat Islam atau tidak.

“Semua pihak perlu faham Artikel 11 (4) bahawa agama lain bebas diamalkan tetapi tidak boleh didakwah kepada orang Islam,” katanya. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Majlis Hari Raya Aidilfitri Muhibah Madani

GOLONGAN bukan Muslim didekati YADIM menerusi pelbagai program dan pendekatan dakwah. YADIM Negeri Selangor umpamanya dengan kerjasama tiga rakan strategik iaitu MACMA,

SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI

  SEMINAR Kepimpinan Altruistik MADANI merupakan sebuah program yang dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik YADIM Negeri Sembilan dan Melaka iaitu Institut Pendidikan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *