Home » Langit Terbuka » ‘Jangan salah guna logo halal’

‘Jangan salah guna logo halal’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menegaskan kepada peniaga agar jangan menggunakan tanda halal palsu semata-mata untuk beri nilai komersil pada produk jualan. - Foto YADIM

PUTRAJAYA – Peniaga diingatkan untuk tidak menyalahguna logo halal di produk-produk keluaran mereka sebagai alat untuk melariskan jualan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.

“Soal seperti ini saya harapkan peniaga jangan tipu, kita bukan nak halang orang lain makan tapi yang kita nak jaga ialah keperluan orang Islam itu sendiri.

“Jangan sampai menggunakan agama seperti ini, menggunakan tanda halal (palsu) semata-mata untuk beri nilai komersil pada produk jualan,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Nadwah Ulama dan Ilmuan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) (NUIM): Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera di sini pada Sabtu.

Idris berkata demikian ketika mengulas mengenai bungkusan produk gula-gula yang menggunakan logo tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), dan kandungan gula-gula berkenaan didapati mengandungi bahan tidak halal.

Pada 11 September lepas Bahagian Hab Halal Jakim dalam hantaran Facebooknya mengesahkan bahawa produk gula-gula itu menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf Jakim.

Terdahulu Idris dalam ucapan semasa merasmikan persidangan itu berkata aspirasi Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera mengangkat tinggi nilai perpaduan serta membawa satu harapan besar untuk rakyat bersama-sama membantu memulihkan negara dan masyarakat yang terjejas teruk akibat krisis kesihatan awam Covid-19.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *