Home » Langit Terbuka » ‘Jangan tunggu ada kematian baru nak vaksin anak’

‘Jangan tunggu ada kematian baru nak vaksin anak’

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan, isu penolakan vaksin akan memberi kesan kepada kanak-kanak lain termasuk di taska dan sekolah kerana berkongsi tempat pembelajaran dengan kanak-kanak tanpa vaksin. - Foto Lifestyle Okezone

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan kumpulan antivaksin tidak seharusnya menunggu sehingga ada kes kematian untuk terbuka hati membenarkan pengambilan suntikan kepada anak sendiri.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata ia amat tidak adil kepada kanak-kanak yang tidak mengetahui badan mereka tidak pernah divaksin dan menjadi penyumbang kepada penyebaran penyakit dalam kalangan rakan sekolah dan masyarakat setempat.

“Ia tidak adil bagi kanak-kanak kerana mereka tidak tahu mereka tiada vaksin. Memang pengambilan vaksin itu keputusan ibu bapa namun harus diingat, apabila ada kematian, ia kes yang kuat.

“Jangan tunggu lagi, jangan ada penambahan kes (kematian),” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada program ‘Diversity and Inclusion In The Workplace3: Raising The Bar’ anjuran British Malaysian Chamber of Commerce Berhad yang turut dihadiri Pengarah Eksekutifnya, Jennifer Lopez.

Yeoh berkata demikian ketika diminta mengulas kes lima kanak-kanak disyaki positif jangkitan difteria dan kini dirawat di wad isolasi pediatrik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Semua kanak-kanak termasuk tiga perempuan berusia bawah empat tahun itu, dikesan positif jangkitan difteria susulan saringan terhadap 52 individu oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Seorang daripada kanak-kanak yang positif itu adalah kakak kepada budak lelaki berusia dua tahun satu bulan yang meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria, Selasa lalu.

Yeoh berkata, kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, bahawa pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan, sangat bertepatan demi kebajikan, keselamatan dan kesihatan semua kanak-kanak yang belum mendapatkan vaksin.

Yeoh berkata, pihaknya belum memperoleh bilangan sebenar kanak-kanak yang tidak mendapatkan suntikan vaksin imunisasi itu kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.

Beliau menegaskan, isu penolakan vaksin akan memberi kesan kepada kanak-kanak lain termasuk di taska dan sekolah kerana berkongsi tempat pembelajaran dengan kanak-kanak tanpa vaksin.

“Anak-anak ini akan terjejas, itu sebabnya kita sokong cadangan Kementerian Kesihatan mewajibkan pengambilan vaksin. Jika tidak dipatuhi, tindakan harus diambil kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kewujudan kumpulan antivaksin walaupun suntikan vaksin telah disahkan dan dibuktikan secara saintifik serta melalui ujian klinikal malahan ia percuma di hospital kerajaan. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *