Home » Langit Terbuka » JAWI laksana pernikahan online pertama di Malaysia

JAWI laksana pernikahan online pertama di Malaysia

Majlis nikah dalam talian itu selaras dengan ketetapan terbaru JAWI pada 17 April yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi Kebenaran Berkahwin daripada JAWI untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video. - Foto Al Hijrah Online

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) hari ini (18 April) melaksanakan majlis akad nikah satu pasangan pengantin secara atas talian (online), yang pertama di Malaysia, ekoran kekangan pergerakan akibat wabak COVID-19.

Majlis pernikahan pertama secara online melalui sidang video itu membabitkan pasangan pengantin, Muhammad Don Haadi Don Putra, 29, dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif, 29, disempurnakan dalam sekali lafaz.

Majlis diadakan di rumah pengantin perempuan di Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak, manakala pengantin lelaki pula berada di Setiawangsa pada jam 10.10 pagi tadi.

Bapa pengantin perempuan, Mohd Sharif Khamis menjadi wali pernikahan dengan kehadiran saksi.

Majlis bersejarah yang turut disiarkan menerusi Facebook Live Berita AlHijrah itu disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail.

Majlis nikah online itu selaras dengan ketetapan terbaru JAWI pada 17 April lalu yang memberi kelonggaran kepada pasangan yang memperolehi Kebenaran Berkahwin daripada JAWI untuk melaksanakan akad nikah secara sidang video (video conference) berdasarkan garis panduan dan borang permohonan ditetapkan.

Antara negara melaksanakan nikah online ekoran penularan wabak COVID-19 adalah Emeriyah Arab Bersatu (UAE).

Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga 28 April depan bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini. — AlHijrah Online

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *