Home » Citra Yadim » Jemputan ke Festival Ummatic 2.0

Jemputan ke Festival Ummatic 2.0

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), telah dijemput untuk sama sama menjayakan Festival Ummatic 2.0 yang akan diadakan di Masjid Muhammad Al Fateh, Taman Jati, Ipoh, Perak.

Festival yang akan diadakan bermula 6 hingga 8 September ini, bakal disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, manakala perasmian penutupnya pula oleh Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ahmad Faizal Dato’ Azumu.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Dakwah masjid berkenaan, Mohd Dzohiri Abdul Samad berkata,objektif utama festival berkenaan yang kali kedua diadakan, ialah untuk menjadikan masjid dan sebagai one stop center, bukannya sekadar tempat ibadah dan kuliah semata mata.

“Kami berhasrat  menjemput Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz sebagai ahli panel pada Forum Perdana di festival berkenaan, selain beliau  kita turut bercadang tampilkan pendakwah bebas terkemuka, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid dan Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail. Dengan tarikan yang ada pada Ustaz Nik, kita yakin ramai akan hadir pada forum berkenaan.

“Manakala Timbalan Yang Dipertua YADIM, Ustaz Zolkharnain Abidin sebagai penceramah kuliah subuh. Untuk kuliah Subuh ini, kami berhasrat jenamakannya sebagai Gerakan Subuh, di mana kita rancang untuk meriahkannya dan jadikan kehadiran seperti ketika Solat Jumaat,” katanya.

Mohd Dzohiri berkata demikian ketika memberikan taklimat dan jemputan kepada Zolkharnain di sini semalam (25 Jun). Hadir sama ialah pengerusi masjid berkenaan, Zulkifli Ibrahim dan ahli jawatankuasa masjid tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Dzohiri menambah, YADIM juga dipelawa untuk membuka gerai jualan di tapak masjid berkenaan. Menurutnya, pihak masjid mendapati badan dakwah ini mempunyai judul judul buku agama yang mampu menarik minat pembeli.

Selain gerai jualan dan forum perdana, Mohd Dzohiri berkata, pengisian lain festival itu termasuk street soccer, penukaran minyak hitam percuma, pertandingan azan, nasyid dan hafazan, usrah mukminat dan pertandingan mewarna.

Turut diadakan katanya ialah acara riadah berjalan 10,000 langkah, memanah, menunggang kuda, pemeriksaan kesihatan, derma darah, demonstrasi menunggang motosikal berkuasa tinggi, pertandingan Mobile Legend, khidmat menggunting rambut dan sebagainya.

“Bukan itu saja, kita juga bercadang adakan ziarah ke kediaman asnaf di kariah masjid, ini akan dilaksanakan dengan kerjasama pasukan Sahabat YADIM di sini,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Skuad Ar Rahmah Ipoh.

Sementara itu Zolkharnain dalam reaksinya berkata, YADIM akan cuba memberikan kerjasama sebaiknya dalam menjayakan festival itu nanti.

“InsyaAllah akan bantu dengan tenaga kerja dan kemudahan yang dimiliki, kebetulan pada 25 Julai ini, Konvensyen Malaysia Rahmah peringkat Parlimen Larut dirancang untuk diadakan, seterusnya peringkat negeri di Ipoh.

“Kita boleh jadikan ini sebagai siri program di negeri Perak untuk gerakkan dakwah di sana, “ ujar beliau.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *