Home » Langit Terbuka » Kabinet akan putuskan sama ada jemaah kita boleh kerjakan umrah, haji

Kabinet akan putuskan sama ada jemaah kita boleh kerjakan umrah, haji

Belum ada keputusan sama ada jemaah dari negara ini boleh menunaikan umrah dan haji tahun ini. - Foto TMR

KUALA LUMPUR – Kabinet akan memutuskan sama ada membenarkan rakyat Malaysia mengerjakan umrah apabila Arab Saudi membenarkan semula pelaksanaan ibadat itu mulai 1 November ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaari, berkata setakat ini belum ada keputusan rasmi sama ada kebenaran akan diberikan kepada jemaah Malaysia mengerjakan umrah dan haji tahun depan.

“Bagi ibadat umrah, belum ada keputusan sehingga dibawa ke Kabinet dalam masa terdekat. Walaupun Arab Saudi membuka pintu bagi jemaah luar negara mulai 1 November, itu tidak bermakna kita juga akan menghantar jemaah.

” ..kita akan beri keutamaan kepada keselamatan rakyat,” katanya ketika dihubungi BH, di sini pada 22 Oktober.

Mengulas penggunaan aplikasi I’tamarna yang diwajibkan bagi semua jemaah bagi memantau penularan COVID-19, beliau berkata, belum ada keputusan berhubung prosedur berkenaan.

“Setakat ini belum ada keputusan mengenai perkara itu tetapi semua syarat ditetapkan (Arab Saudi) akan diutamakan,” katanya sambil menambah isu berhubung kuota haji bagi tahun depan, kriteria dan jumlah jemaah masih di peringkat perbincangan.

“Angka jemaah yang akan kerjakan haji juga belum ditetapkan. Secara umumnya, disebabkan kerajaan Arab Saudi mengehadkan jemaah, jadi kita juga terpaksa berbuat demikian.

“Mungkin tidak (seramai) sebagaimana musim haji terdahulu hingga 30,000 jemaah haji Malaysia dihantar setahun,” katanya.

Berikutan negara masih berdepan penularan COVID-19 dan banyak negeri serta kawasan berdepan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), keputusan menghantar jemaah haji perlu dipertimbangkan dengan lebih teliti.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, dalam satu kenyataan memaklumkan kuota haji tahun depan untuk rakyat negara ini antara perkara dibincangkan menerusi Jawatankuasa Strategik Peringkat Tertinggi Malaysia-Arab Saudi.

Jumlah rakyat Malaysia dibenar mengerjakan umrah turut dibincangkan melalui jawatankuasa ini. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Kesempurnaan cinta kemanisan iman

Dari Anas bin Malik R.A, Rasulullah SAW bersabda: :عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ

Siapakah Ibnu Batutah?

Ibnu Batutah adalah tokoh muslim asal Moroko yang lahir tahun 1304 M dan suka melakukan pengembaraan ke berbagai penjuru dunia. Nama penuhnya,

Sang Pengiring Muhammad SAW

Abu ‘Abd Allah Zubair ibn al-Awwam adalah seorang sahabat Rasulullah SAW. Beliau merupakan salah seorang “mubasyirin bil-jannah” (sepuluh sahabat yang dijamin masuk

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *