Home » Langit Terbuka » Kehilangan buat Keluarga Malaysia – Ismail Sabri

Kehilangan buat Keluarga Malaysia – Ismail Sabri

Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR – Pemergian bekas Ketua Setiausaha Negara, Allahyarham Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, yang meninggal dunia pagi tadi, disifatkan sebagai kehilangan kepada Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Allahyarham sebagai seorang tokoh pentadbir yang amat dihormati, sinonim dengan pelbagai usaha mempertingkatkan imej dan kecekapan tadbir urus perkhidmatan awam.

Katanya, Allahyarham juga komited menyumbang idea dan kepakaran, termasuk dalam sektor pendidikan walaupun selepas bersara.

“Sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Majlis Raja-Raja, Allahyarham memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam dalam negara.

“Justeru, pemergian Allahyarham yang bagi saya adalah seorang negarawan, adalah suatu kehilangan besar buat negara. Jasa bakti Allahyarham akan terpahat dalam lipatan sejarah Malaysia sampai bila-bila,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Perdana Menteri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan mereka tabah berdepan saat yang mendukacitakan itu.

Beliau turut mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat dan diangkat darjatnya bersama para anbia.

Ahmad Sarji meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, pada jam 1.40 pagi ini.

Dilahirkan pada 16 September 1938 di Tapah, Perak, Allahyarham berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara dari tahun 1990 hingga 1996 ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Allahyarham adalah tokoh pentadbir Perkhidmatan Awam negara yang amat disegani dan dihormati. Allahyarham juga adalah pengasas dan pengerusi pertama IKIM pada 1992 dan dilantik semula ke jawatan itu pada 2019. – Berita Harian 

 

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *