Home » Langit Terbuka » Kementerian Luar pastikan urusan jemaah haji lancar

Kementerian Luar pastikan urusan jemaah haji lancar

Sekiranya ibadah haji dibenarkan dan ia turut melibatkan umat Islam dari luar Arab Saudi, kerajaan perlu meneliti jumlah keseluruhan jemaah haji dari seluruh dunia yang dibenarkan serta kuota untuk jemaah haji Malaysia. - Foto Tribunnews

PUTRAJAYA – Kementerian Luar akan bersama-sama memastikan urusan jemaah haji Malaysia pada tahun ini berjalan lancar.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya senada dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam bahawa Kerajaan Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi daripada pihak Kerajaan Arab Saudi sama ada ibadah Haji dibenarkan untuk dilaksanakan atau tidak tahun ini.

Beliau berkata, sekiranya ibadah Haji dibenarkan dan ia turut melibatkan umat Islam dari luar Arab Saudi, kerajaan perlu meneliti jumlah keseluruhan jemaah Haji dari seluruh dunia yang dibenarkan serta kuota untuk jemaah Haji Malaysia.

“Setiap agensi dan pihak berkuasa terlibat perlu bekerjasama bagi memastikan rakyat Malaysia yang akan ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah Haji tahun ini mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) termasuk berkaitan keperluan vaksinasi yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan pada 25 Mei.

Semalam, Zulkifli memaklumkan, kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) setakat ini mengakui belum lagi menerima jumlah sebenar kuota jemaah haji Malaysia bagi musim ibadah fardu itu kali ini dan mengesahkan bahawa kerajaan Arab Saudi belum lagi memuktamadkan perkara itu.

Beberapa laporan media tempatan dan asing dilaporkan berkata, Arab Saudi dijangka hanya membenarkan sejumlah 60,000 jemaah asing meliputi 60 negara sahaja dengan setiap negara itu cuma kuota 1,000 orang.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata, Tabung Haji sedang giat membuat persediaan operasi di tanah air dan Tanah Suci sejak tahun lalu bagi memastikan kelancaran urusan bakal jemaah selain menyarankan segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi memenuhi prasyarat wajib ditetapkan Arab Saudi selaras protokol kesihatan yang ketat. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *