Home » Langit Terbuka » Keputusan Saudi gantung visa umrah kerana Covid-19 tidak perlu dipertikai

Keputusan Saudi gantung visa umrah kerana Covid-19 tidak perlu dipertikai

Dalam keadaan semasa yang berlakunya penularan Covid-19, Mufti Pahang menasihatkan supaya umat Islam negara ini menangguhkan dahulu hasrat menunaikan umrah. - Foto hiasan NetralNews.com

PETALING JAYA – Keputusan Arab Saudi menggantung sementara visa umrah bagi mengekang penularan wabak Covid-19 tidak seharusnya dibantah mana-mana pihak kerana ia untuk kebaikan bersama, kata Mufti Pahang Abdul Rahman Osman.

Abdul Rahman berkata, adalah lebih baik dan bermanfaat sekiranya jemaah dari Malaysia tidak menunaikan ibadah umrah buat seketika kerana wabak itu menjejaskan beberapa negara, termasuk Malaysia.

“Kalau menjadi masalah besar dan terkena wabak ini, adalah lebih baik tidak pergi menunaikan umrah kerana ia hanyalah ibadah sunat. Jika menyebabkan mudarat kepada orang lain, maka tidak boleh juga.

“Orang terlalu ramai dan kita tidak tahu sama ada orang yang pergi turut terkena wabak ini atau tidak. Kalau berlaku, satu kapal terbang terpaksa dikuarantin dan satu hotel terpaksa dicuci demi mengekang wabak ini,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, kerajaan Arab Saudi menggantung sementara kemasukan jemaah umrah ke Makkah dan lawatan ke Masjid Nabawi di Madinah, selain menggantung visa pelancongan dari negara yang berdepan ancaman Covid-19.

Langkah itu susulan kebimbangan terhadap penularan wabak terbabit yang telah mengorbankan lebih 2,715 orang dan menjangkiti lebih 78,000 orang di China setakat ini.

Abdul Rahman dalam pada itu menyarankan, adalah lebih baik sekiranya wang perbelanjaan yang sepatutnya digunakan untuk menunaikan ibadah umrah disalurkan dan disedekahkan kepada golongan kurang berkemampuan, seperti anak yatim.

“Kita boleh salurkan juga untuk bersedekah kepada anak yatim dan perkara lain, akan dapat pahala juga,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *