Home » Langit Terbuka » Kerajaan, NGO bekerjasama tambah baik bentuk bantuan kemanusiaan ke Gaza

Kerajaan, NGO bekerjasama tambah baik bentuk bantuan kemanusiaan ke Gaza

Sebarang bentuk cadangan daripada NGO akan menambah baik usaha membantu mangsa kekejaman Israel, kata Menteri Luar. - Foto Wartamuslimin.com

SEPANG – Kerajaan mengalu-alukan sebarang bentuk cadangan penambahbaikan bentuk bantuan yang boleh disalurkan negara ini kepada mangsa kekejaman rejim Zionis di Gaza, Palestin.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata melalui pendekatan itu, sumbangan pelbagai pihak dapat dioptimumkan, sekali gus dapat memberi bantuan secara menyeluruh kepada umat Islam di sana.

Beliau menjelaskan pihaknya sudah mula mengadakan perbincangan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, terutama yang aktif dalam memberi bantuan kepada rakyat Palestin bagi mengumpulkan cadangan mereka.

“Ini kerana dalam hal tertentu, mungkin agak sukar untuk Kerajaan Malaysia memainkan peranan dan kita boleh tahu sejauh mana bantuan boleh diberikan. Jadi, idea dan pengalaman mereka di lapangan bileh membantu kita mengenalpasti bentuk bantuan yang boleh diberikan.

“Jika usaha ini boleh disatukan, kita boleh menambahbaik bantuan yang boleh disampaikan,” katanya selepas melancarkan Misi Bantuan Kemanusian Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan Kementerian Luar sedang mengadakan kajian untuk menggandakan usaha penyaluran bantuan kepada masyarakat Palestin di Gaza.

“Malaysia menjadi anggota beberapa badan antarabangsa yang mana kita memberi sumbangan tahunan kepada badan yang berkenaan. Jadi, sekarang kita sedang fikirkan mungkin peruntukan itu dapat diagihkan kepada NGO tempatan yang sememangnya kita tahu mereka buat kerja di Palestin.

“Kajian ini sudah bermula sejak dua bulan lalu dan sebarang keputusan mengenainya diharap dapat dibuat sebelum hujung tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby, berkata misi berkenaan disertai lapan sukarelawan itu dan dijadualkan berlangsung sehingga 18 Julai ini dengan memasuki Gaza melalui sempadan Rafah, Mesir.

Katanya, kebenaran akhirnya diperoleh daripada Kerajaan Mesir bagi membolehkan misi itu dilaksanakan selepas lima tahun MAPIM cuba memasuki Gaza sebelum ini tetapi tidak membuahkan hasil. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *