Home » Langit Terbuka » Kes kecurian di masjid, polis minta waspada

Kes kecurian di masjid, polis minta waspada

Kesan Myvi putih cari suspek

KUALA TERENGGANU 18 Dis. – Polis meminta kariah masjid di negeri ini merekodkan nombor pendaftaran PERODUA Myvi putih yang mencurigakan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail, berkata maklumat itu bagi membantu mengesan suspek yang menyamar sebagai jemaah wanita, dalam kejadian samun di Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Beliau berkata, ahli jawatankuasa masjid dan mangsa kes itu pula dinasihatkan membuat laporan polis meskipun nilai kerugian yang dialami tidak tinggi.

“Setakat ini, kita tidak menerima laporan daripada pihak masjid atau mangsa mengenai kejadian berkenaan kerana mangsa dipercayai hanya kehilangan telefon bimbit.

“Meskipun nilai kecurian tidak banyak, tetapi laporan perlu dibuat kerana jika tidak dibendung, ia memberi kesan buruk kepada imej masjid di Terengganu,” katanya kepada media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis Kontinjen Terengganu di Paya Bunga Square, di sini, hari ini.

Aidi berkata, sehingga kini sebanyak 96 kes kecurian di masjid direkodkan membabitkan 56 kes kehilangan motosikal, 33 kecurian barang jemaah dan masjid serta tujuh kes kecurian kereta.

“Sebanyak 48 tangkapan sudah dibuat membabitkan 47 lelaki dan seorang perempuan, manakala 14 daripada mereka didapati penagih dadah.

“Saya juga sudah meminta semua pegawai yang ditugaskan berjumpa dengan ahli jawatankuasa masjid bagi memperketatkan sistem keselamatan di rumah ibadat seluruh negeri,” katanya.

Mengulas mengenai kes kecurian tabung masjid yang semakin membimbangkan, pihaknya meminta ahli jawatankuasa masjid mengosongkan tabung setiap kali selesai solat bagi memastikan kerugian membabitkan sumbangan jemaah dapat dibendung.

“Polis sudah menugaskan pegawai di 500 masjid dan 2,000 surau yang ada, namun mereka bukan sepanjang masa ditugaskan di situ memandangkan jumlah pegawai tidak mencukupi.

“Namun, pegawai kami sentiasa membuat pemantauan dan menasihatkan ahli jawatankuasa untuk memperketat kawalan masjid, sekiranya ia dilihat tidak selamat terutama dengan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.- BERITA HARIAN

Artikel Berkaitan

Maqasid haji membina kesatuan ummah

Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang menjadi tunjang dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah manifestasi ketaatan kepada Allah SWT

Ukuran haji mabrur

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT

Syahristani tajam dalam ilmu perbadingan

  Syahristani adalah seorang ulama terkenal abad ke-21 khususnya di bidang teologi, sejarah dan agama. Ia juga dikenali sebagai ahli perbandingan agama.

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *