Home » Langit Terbuka » Kids Zone mudahkan ibu bapa solat Tarawih

Kids Zone mudahkan ibu bapa solat Tarawih

Setakat ini seramai 30 orang kanak kanak ditempatkan di Kids Zone Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, lantas memudahkan ibu bapa mereka menunaikan solat Tarawih. - Foto FB

IPOH – Pengurusan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) di sini mengambil pendekatan kreatif apabila menyediakan Zon Kanak-kanak atau Kids Zone bagi memudahkan ibu bapa untuk datang menunaikan solat Tarawih.

Zon khas ini membolehkan ibu bapa meninggalkan anak-anak mereka semasa bersolat di bawah pengawasan petugas masjid untuk bermain-main dan tidak berkeliaran.

Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh berkata, inisiatif berkenaan baharu diperkenalkan sebagai salah satu pendekatan pihak masjid bagi memberi keselesaan kepada jemaah terutama yang berkeluarga.

Menurut beliau, salah sebuah dewan kuliah yang terletak di tingkat atas masjid dijadikan zon khas ini yang mampu memuatkan sehingga 50 orang kanak-kanak pada satu-satu masa.

“Di zon ini kita menyediakan permainan, alat tulis dan bahan bacaan yang kebanyakannya hasil infak daripada kariah sendiri.

“Ini juga antara pendekatan kita bagi mewujudkan konsep mesra masjid kepada jemaah terutama untuk menjadikan masjid lokasi yang digemari kanak-kanak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita di pejabatnya di Masjid Negeri di sini.

Difahamkan, sebelum ini konsep sama telah diperkenalkan di Masjid An-Nur di Masjid Universiti Teknologi Petronas yang terletak di Bandar Seri Iskandar, Bota.

Mengulas lanjut kata Abdul Farid, ketika ini pihaknya hanya menerima kanak-kanak yang berusia antara empat hingga tujuh tahun sahaja bagi memudahkan pemantauan.

“Semua kanak-kanak yang ditinggalkan mesti didaftarkan oleh ibu bapa masing-masing dan petugas kita akan memberikan kad nombor.

“Sehingga kini kita menerima kira-kira 30 orang kanak-kanak untuk dijaga setiap malam, malah ada antara anak-anak yang mahu ibu bapa solat Tarawih di sini semata-mata ingin bermain di Zon Kanak-kanak Masjid,” ujarnya. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *