Home » Wacana » Kita Semua Adalah Pendakwah

Kita Semua Adalah Pendakwah

Oleh AHMAD SUFFIAN

TIDAK kira siapa kita dan apa yang kita buat, asalkan ianya perkara baik, jikalau niat atau nawaitu kita semasa melakukan perkara itu adalah semata-mata kerana Allah SWT, maka itu sudah dikira ibadat.

Sama juga ertinya jika kita mengajak seseorang itu supaya bersolat misalnya, mendorong mereka kepada kebajikan dan kebaikan serta mencegah dari kejahatan; maka itu dikira dakwah. Bukankah berdakwah itu juga ibadat?

Berdakwah adalah tugas seseorang mengajak secara ikhlas, seseorang yang lain kepada melaksanakan suruhan Allah SWT.

Sama ada kita berdakwah sepenuh masa atau sekadar memberitahu kepada perkara baik, ingat mengingati di antara satu sama lain, itu sudah dikira berdakwah.

Untuk berdakwah tidak perlu ada kumpulan sasar kerana usaha mulia ini merangkumi semua manusia yang sememangnya mempunyai sifat-sifat mazmumah.

Pendakwah tidak punya musuh kerana dia tidak memaksa sesiapapun untuk menerima mukadimahnya atau melakukan apa-apa yang disuruh. Berdakwah dengan menunjukkan contoh adalah kaedah terbaik sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Tidak ada paksaan dalam Islam.

Pendakwah berpegang teguh pada sunnah Nabi SAW dan sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang sudi mendengar, agar kembali kepada asas ajaran Islam yang sebenar terutama dalam menunaikan amal ibadat dan teguh dalam amalan mendirikan solat lima waktu sehari semalam.

Melalui ceramah atau majlis-majlis ilmu,  nasihat atau contoh baik secara individu atau berkumpulan yang berkesan, seseorang pendakwah itu boleh menimbulkan kesedaran dan keinsafan di hati golongan ini apa lagi mereka ini sebahagian besar adalah golongan Islam pada namanya sahaja.

Maka itu, adalah digalakkan setiap Muslim memulakan langkah pertama, bermula dengan diri sendiri, mengajak ahli terdekat dalam keluarga, kaum kerabat, sahabat handai dan jiran tetangga, agar berkunjung ke masjid untuk bersolat jemaah; kerana ini adalah satu permulaan dakwah yang sangat-sangat disukai oleh Allah SWT.

Bagi menyampaikan satu ceramah yang berkesan, seseorang penceramah atau pendakwah itu hendaklah memastikan ilmu yang disampaikan memberi kesan kepada pendengarnya.

Kerana itu, sesiapa sahaja yang berperanan menyampaikan ilmu, yang terlibat dengan tugas dan tanggungjawab itu termasuklah para pendakwah, mesti ada ciri-ciri tertentu di antaranya:

  1. Ketokohan dan kematangan

Seseorang yang ingin berceramah, perlu matang dan mampu menganalisis senario semasa, kreatif, bersikap terbuka dan boleh menyesuaikan aktiviti dengan kumpulan mengikut keadaan dan tempat.

  1. Kepetahan bercakap di khalayak ramai

Berkebolehan dalam menyampaikan ceramah dengan cara yang menarik, boleh menjadi daya tarik kepada masyarakat untuk mendengar ceramahnya.

Mereka yang mendengar dengan khusyuk pasti mendapat sesuatu yang berguna hasil dari ceramah itu, yang boleh menambah ilmunya.

Kebolehan bercakap di khalayak merupakan aset yang tidak ternilai untuk menarik dan memikat orang ramai ke majlis agama atau majlis ilmu yang dianjurkan oleh masjid.

  1. Berilmu

Penceramah yang berilmu dan berkebolehan adalah antara faktor penting yang boleh membantu seseorang menambah ilmu dan pembentukan insan soleh.

Berilmu bererti mengetahui apa yang diceramahkan, fasih dengan al-Quran, luas pengtahuan dan mampu menyampaikan ilmunya kepada jemaah dengan jelas, membuat perbandingan dengan hujjah dan contoh-contoh yang boleh menunjukkan agama Islam adalah agama yang sebenarnya, boleh meyakinkan pendengar bahawa Islam adalah agama terbaik.

Jika ada persoalan, ulasan dan jawapannya boleh memuaskan hati pendengar.

  1. Berani dan bijak membentang berhujah

Ini merupakan cabaran kepada penceramah. Mereka yang tidak berani menyatakan sesuatu dengan jelas, maka pendengar tidak dapat apa-apa yang bernas.

Kalau sekadar menyentuh satu-satu isu cuma dipermukaan sahaja, maka apa yang boleh digalas oleh pendengar? Pendengar mengharap sesuatu yang terus terang, jelas; kenyataan yang disokong dengan statistik, gambar-gambar, menjadi tarikan utama pendengar.

Gambar-gambar boleh memberi seribu perkataan, kesemuanya menjadikan keyakinan dan minat mereka kepada ceramah bertambah.

  1. Mempunyai akhlak mulia

Berakhlak dalam hubungan dengan jemaah, tahu menjaga waktu, berterampilan, beradab dan dihormati masyarakat.

Pendekatannya harus seperti orang yang berilmu. Bertutur kata dengan lembut, perihatin bila diajukan persoalan-persoalan yang rumit dan menonjolkan tahap kesabaran yang tinggi ketika menyentuh perkara-perkara sensitif.

Cara penyampaian juga mesti secara teratur, bersopan dan harus menghargai penyertaan dari pendengar, memberi pandangan yang bernas dan membuka minda.

 

 

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *