Home » Citra Yadim » Konvensyen, ceramah tolak pornografi mulakan Ummatic 2.0

Konvensyen, ceramah tolak pornografi mulakan Ummatic 2.0

IPOH – Festival Ummatic 2.0 memulakan perjalanan programnya dengan dua acara pada sebelah pagi hari ini (4 Oktober) iaitu Ceramah Tolak Pornografi di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jati dan Konvensyen Rahmatan Lil Alamin di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh di sini.

Ceramah Tolak Pornografi yang bermula jam 8.30 pagi, dianjurkan dengan kerjasama Majlis Perundingan Wanita Rahmah (MAWAR) – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), berjaya menarik lebih 350 peserta terdiri daripada pelajar pelajar sekolah dari sekitar bandaraya ini.

Perunding dari MFA Smart Training & Consultancy, Mohd Fairus Abu merupakan penceramah bagi program ini.

Ia bertujuan memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai bahaya pornografi serta akibat sekiranya berlaku ketagihan kepadanya.

Menurutnya, antara contoh akibat buruk akibat pornografi ialah kejadian malang yang menimpa adik Nurin Jazlin yang maut pada tahun 2007.

Sementara itu, Konvensyen Rahmatan Lil Alamin di ILP Ipoh yang membicarakan tentang meraikan kepelbagaian dan bahaya perkauman di negara ini, menyaksikan dua kertas kerja dibentangkan kepada hadirin.

Kertas kerja pertama dibentangkan oleh Ustaz Abdullah Shahir Arifin  Ahmad Khabil, Pengetua Kolej Al Quran Saidina Ali di Melaka. Membawakan tajuk ‘Pengantar Maqasid Syariah’, ia membicarakan tentang konsep Maqasid Syariah yang dilaksanakan kerajaan bagi membela kebajikan rakyat.

Kertas kerja kedua pula bertajuk ‘Rasis Dan Bahayanya Kepada Masyarakat’, dibentang oleh Naib Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kebangsaan, Dr Johari Yap.

Beliau berbicara tentang semangat kesepaduan yang sepatutnya diamalkan di negara ini, walaupun berbeza latar belakang, agama dan ideologi.

Johari turut berkongsi kisahnya sebagai seorang muallaf dan pengalaman beliau berdakwah kepada pelbagai lapisan masyarakat .

Terdahulu,Timbalan Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Zolkharnain Abidin menyampaikan ucapatama dalam konvensyen ini. Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah negara dengan pelbagai lapisan budaya dan masyarakat, tidak boleh lari daripada meraikan kepelbagaian itu.

Peluang masyarakat yang pelbagai ini ujarnya, mesti diambil oleh umat Islam untuk berdakwah dan menyampaikan keindahan agama itu kepada orang ramai.

Konvensyen ini dihadiri oleh wakil wakil agensi kerajaan dan ahli ahli badan bukan kerajaan.

Festival Ummatic 2.0 merupakan sebuah program dakwah yang dianjurkan Masjid Muhammad Al Fateh di sini dengan kerjasama YADIM dan beberapa lagi badan bukan kerajaan.

Ia mensasarkan dakwah kepada semua golongan termasuk bukan Islam. Perasmiannya bakal disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf pada malam ini.

Selain konvensyen dan ceramah di atas, turut diadakan hari ini ialah Slot Wanita Rahmah yang dijadualkan disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat MAWAR, Prof Madya Dr Nik Salida Nik Saleh dan sesi Street Dakwah oleh pendakwah terkenal, Firdaus Wong.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *