Home » Langit Terbuka » Kumpulan pertama jemaah haji berangkat 4 Julai

Kumpulan pertama jemaah haji berangkat 4 Julai

Pihak Tabung Haji sentiasa membuat kajian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk aspek perubatan kepada jemaah sepanjang di tanah suci, jelas Ketua Rombongan Haji Malaysia. - Foto KRJogja.com

PUTRAJAYA – Kumpulan pertama jemaah haji akan berangkat ke tanah suci pada 4 Julai ini, kata Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, penerbangan jemaah haji tahun ini menggunakan Malaysia Airlines (MAS) dan syarikat penerbangan Saudi, Flynas.

Beliau berkata, sebanyak 30,200 jemaah haji termasuk 255 petugas perubatan terdiri daripada pakar, pegawai perubatan dan lain-lain kategori akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

Katanya, kumpulan petugas dan perubatan haji dijadual berangkat secara berperingkat mulai 27 Jun ini.

“Pihak Tabung Haji sentiasa membuat kajian bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk aspek perubatan kepada jemaah sepanjang di tanah suci.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan, indeks kepuasan pelanggan (CSI) bagi sektor kesihatan mencapai 92 peratus tahun lalu, berbanding jangkaan minimum 85 peratus,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis perjumpaan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bersama petugas rombongan perubatan haji 2019 di sini.

Syed Saleh berkata, Tabung Haji juga turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kesihatan membabitkan jemaah uzur akibat masalah kesihatan melalui Program Safari Wukuf yang mula diperkenalkan tiga tahun lalu.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan bersama Lembaga Tabung Haji sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan jemaah haji mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik semasa di tanah suci.

Beliau sehubungan itu menasihatkan para petugas kesihatan haji memberikan perkhidmatan terbaik mereka kepada para jemaah haji.

“Sebagai petugas perubatan haji, tuan puan juga perlu memastikan amalan pencegahan dan kawalan infeksi sentiasa dilaksanakan dan dipertingkatkan bagi mencegahbpenularan penyakit berjangkit,” katanya. – Utusan Malaysia

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *