Home » Langit Terbuka » Kurikulum sekolah pondok, tahfiz terus diperkasa

Kurikulum sekolah pondok, tahfiz terus diperkasa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Model Pondok Moden Malaysia itu sedang dirangka oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. - Foto KMU Malaysia

BANGI – Kerajaan akan membangunkan Model Pondok Moden Malaysia sebagai inisiatif untuk menyelaras kurikulum sekolah pondok di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, buat masa ini model itu sedang dirangka oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya ia dijangka berupaya menjadikan kurikulum pengajian pondok selari dengan pendidikan arus perdana.

“Kita nak cuba selaraskan kurikulum, supaya model itu menggunakan kurikulum mengikut acuan dan citra yang kita nak,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pondok Kebangsaan di sini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelaras Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Tan Sri Prof Datuk Dr Yusof Noor dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Mujahid berkata dalam merealisasi usaha itu, beliau menggalakkan pengusaha untuk mendaftar institusi pondok dan tahfiz di negara ini.

Malah beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan memudahkan urusan pendaftaran.

“Pendaftaran membolehkan institusi memperoleh manfaat, termasuk bantuan kewangan diperuntukkan kerajaan.

“Tahun ini kerajaan meluluskan peruntukan RM25 juta dan RM50 juta masing-masing untuk penambahbaikan infrastruktur institusi pondok dan tahfiz.

“Tambahan RM2.25 juta diperuntukkan sebagai inisiatif pendaftaran institusi tahfiz, serta RM4 juta membabitkan latihan perguruan,” katanya.

Dianggarkan sebanyak 158 institusi pondok dan tahfiz berdaftar.

Sementara itu konvensyen sehari itu pertama kali diadakan dihadiri kira-kira 300 peserta daripada 151 institusi pendidikan pondok seluruh negara. – Berita Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *