Home » Langit Terbuka » MAIM Kelantan tumpu masalah sosial

MAIM Kelantan tumpu masalah sosial

MAIM bertindak sebagai fasilitator kepada seluruh NGO Islam di negeri itu, yang mempunyai pelbagai fokus - Utusan Malaysia

KOTA BHARU – Masalah sosial terutama dalam kalangan generasi muda di negeri ini akan menjadi tumpuan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) Kelantan dalam tempoh dua tahun ini.

Pengerusi MAIM Kelantan, Dr Mohamad Hamzah berkata, sebagai sebuah badan gabungan yang mengkordinasi gerak kerja badan bukan kerajaan (NGO) Islam, pihaknya akan menggembeleng segala kepakaran dan kekuatan menghadapi isu seperti penagihan dadah, air ketum dan pembuangan bayi.

Beliau berkata, terdapat lebih 50 NGO Islam kini bergabung di bawah MAIM Kelantan dan pihaknya berharap lebih banyak lagi akan tampil.

“Kami bertindak sebagai fasilitator kepada seluruh NGO Islam yang mempunyai pelbagai fokus, kita bukan mahu cari perbezaan atau pergeseran tetapi kesamaan supaya kita boleh bergerak ke depan.

“Tumpuan kita di Kelantan adalah masalah sosial remaja, kita perlu gabungkan kepelbagaian fungsi dan kepakaran untuk mengatasinya khusus dalam tempoh dua tahun ini, selain itu isu kemiskinan juga akan menjadi tumpuan kita,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat kedua MAIM Kelantan di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi MAIM negeri, Kamaruddin Deraman dan Setiausaha MAIM negeri, Mahadi Awang.

Pada mesyuarat itu, pelantikan ahli jawatankuasa tertinggi turut dibuat bagi mengetuai tujuh kluster gerak kerja iaitu kluster perpaduan ummah dan siasah; hak asasi manusia dan undang-undang; ekonomi dan kepenggunaan; pendidikan; akidah dan syariah; wanita dan kekeluargaan serta sosial.

Penubuhan MAIM di setiap negeri sejak 2005 adalah salah satu inisiatif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertujuan memupuk kerjasama pintar antara kalangan NGO Islam. – Utusan Malaysia

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *