Home » Langit Terbuka » KKM nafi pendapatan bulanan ditolak untuk Skim Perlindungan Kesihatan B40

KKM nafi pendapatan bulanan ditolak untuk Skim Perlindungan Kesihatan B40

Menteri Kesihatan menegaskan, tidak ada kenyataan dikeluarkan sama ada oleh beliau mahupun pegawai dari kementeriannya berhubung penolakan pendapatan untuk skim kesihatan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menafikan sebarang kenyataan bahawa lima peratus daripada pendapatan bulanan akan ditolak bagi membiayai Skim Perlindungan Kesihatan B40.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tidak ada kenyataan seumpama itu dikeluarkan sama ada oleh beliau mahupun pegawai dari kementeriannya berhubung penolakan pendapatan untuk skim berkenaan sebagaimana tular di media sosial.

Selain itu, kata beliau, spekulasi terhadap pemansuhan bayaran RM1 dan RM5 di fasiliti kesihatan kerajaan juga tidak benar.

“Saya ingin mengambil maklum kenyataan berhubung Skim Perlindungan Kesihatan B40 yang tular di media sosial dan spekulasi pemansuhan bayaran RM1 dan RM5.

“Apa yang saya ingin jelaskan, kedua-dua perkara yang tular di media sosial itu tidak benar sama sekali,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut beliau, apa yang dinyatakannya pada satu sidang media baru-baru ini ialah mengumumkan bahawa kementeriannya mensasarkan untuk melancarkan Skim Perlindungan Kesihatan B40 pada awal tahun 2019.

Kata Dr Dzulkefly, pada masa ia cadangan itu di peringkat perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menentukan mekanisma dan pakej pembiayaan kesihatan yang terbaik tanpa menjejaskan rakyat atau mana-mana pihak.

“Perkara ini akan dirumuskan dan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung September ini agar dapat dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2019.

“Untuk makluman, rakyat yang dikategorikan di bawah B40 akan dibiayai sepenuhnya di dalam skim ini atau diberikan subsidi penuh oleh kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, jelas beliau, perkhidmatan kesihatan dan perubatan di semua klinik dan hospital kerajaan adalah dikekalkan dan diteruskan seperti biasa.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru masyarakat agar tidak mempercayai spekulasi dan fitnah yang dikeluarkan oleh pihak tertentu bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *