Home » Langit Terbuka » Yayasan, badan amal digalak beri penyata kepada penderma

Yayasan, badan amal digalak beri penyata kepada penderma

Sumber foto Berita Harian
Sumber foto Berita Harian

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua yayasan dan badan amal menyediakan laporan serta penyata kepada penderma bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan sumbangan.

Perdana Menteri berkata, kaedah terbabit akan memberi keyakinan kepada penyumbang bahawa derma disalurkan diagih dengan telus.

“Tradisi baharu ini akan dimulakan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) iaitu siapa yang menderma, akan mendapat laporan daripada pihak pengurusan (YWP), wang digunakan untuk apa.

“Ini penting dan saya berharap ia diikuti dan menjadi contoh kepada badan amal serta yayasan lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tabung Kebajikan dan Pelajaran YWP di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata, perkara sama juga harus dilaksanakan Majlis Agama Islam Wilayah membabitkan wang zakat.

“Amalan ini tidak ada, daripada wang zakat yang diberikan, kena tunjuk dan ini yang dibelanjakan, ini akaunnya, ini auditnya, baru beri keyakinan kepada penderma.

“Sejumlah 80 peratus peruntukan mesti disampaikan kepada khalayak manakala pengurusan tidak boleh melebihi 20 peratus,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu yayasan di negara ini tidak terlalu bergantung kepada sumbangan, sebaliknya meningkatkan keupayaan menjana dana melalui pelaburan dan perniagaan.

Tegasnya, bagi menjayakan usaha itu, yayasan perlu mempelbagaikan penyertaan kepakaran luar yang sedia menyumbangkan tenaga, kemahiran dan idea.

“Jawatankuasa pengurusan juga harus mengambil kepakaran luar dan menimba pengalaman dari profesional lain kerana ramai yang bersedia memberi sumbangan idea kepada yayasan sekali gus mampu memberi pulangan lebih baik.

“Ini kelemahan kebanyakan yayasan dan wajar prestasi mereka diteliti. Apabila ada masalah, tubuh agensi. Bukan agensi tetapi pengurusan dan hala tuju serta tindakan yang tepat,” katanya.

Justeru, yayasan perlu bersikap terbuka untuk mengambil penyertaan dan kepakaran luar dan mampu menyumbang idea serta pemikiran berkaitan perniagaan yang baik. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Jawi sedia ambil tindakan tegas!

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk membuat aduan berhubung kesalahan jenayah syariah yang dilakukan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *