Home » Langit Terbuka » Malaysia #QuranHour di lebih 2,000 lokasi hari ini

Malaysia #QuranHour di lebih 2,000 lokasi hari ini

Bertemakan '9 Budaya Membina Tamadun' yang diambil daripada surah al-Naml, program Quran Hour kali ini agak istimewa kerana diadakan sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-61

SHAH ALAM – Malaysia #QuranHour 1439 Hijrah yang berlangsung hari ini diadakan serentak di lebih 2,000 lokasi di seluruh negara dan 18 tempat yang melibatkan 16 buah negara lain.

Negara terlibat termasuklah Kazakhstan, Perancis, Indonesia, Rusia, Australia, Thailand, India, Turkmenistan, Poland, Herzegovina, Netherlands, Argentina, Qatar, Mesir, Oman dan Ireland.

Bertemakan ‘9 Budaya Membina Tamadun’ yang diambil daripada surah al-Naml, program kali ini agak istimewa kerana diadakan sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-61.

Program berinteraksi dengan al-Quran itu diadakan buat kali keempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Acara itu dihadiri Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; Setiausaha Politik yang mewakili Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah; Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim dan Duta #QuranHour, Ikon Keluarga My Family #QuranHour dan selebriti, Norman Hakim serta Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Acara dimulakan kira-kira jam 12 tengah hari dengan bacaan surah al-Fatihah,surah al-Baqarah ayat satu hingga lima, diikuti soladariti ngaji seterusnya berinteraksi dengan al-Quran menerusi surah al-Naml.

Sesi tadabbur surah al-Naml memfokuskan pembinaan tamadun Malaysia melalui pembentukan kerangka fikir dan tindakan golongan pemimpin dan masyarakat berbilang kaum berteraskan al-Quran, selaras dengan prinsip Rukun Negara.

Malaysia #QuranHour dinaungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, YWUI, Rumah Ngaji, Majlis Dakwah Negara, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd dan Takaful Ikhlas Berhad.

Sinergi media terlibat adalah Astro Oasis, Astro Awani & Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, Bernama, Bernama News Channel, TV Alhijrah, TVIkim, Media Jakim, Kumpulan Utusan, NSTP Group, Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, Denaihati, The Star, Ideaktif, Sin Chew Jit Poh dan Tamil Nesan. – Sinar Harian

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *