Home » Langit Terbuka » Malaysia sertai negara lain elak guna ruang udara konflik

Malaysia sertai negara lain elak guna ruang udara konflik

Malaysia Airlines ilihat tidak mahu mengambil risiko terbang di kawasan ruang udara kawasan konflik, bagi mengelak tragedi MH 17 tahun 2014 berulang . - Foto FAA

QATAR – Malaysia Airlines Berhad (MAB) menjadi antara syarikat penerbangan dunia yang mengelak daripada menggunakan ruang udara dikawal Iran – Selat Hormuz dan Teluk Oman – selepas Agensi Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengeluarkan nota amaran, kelmarin.

Beberapa syarikat dilaporkan sudah menyusun semula jadual perjalanan, dan sesetengahnya menggantung penerbangan yang sebelum ini menggunakan ruang udara dikawal Iran, selepas amaran itu.

FAA kelmarin, mengeluarkan nota kecemasan susulan peningkatan aktiviti ketenteraan dan ketegangan politik di rantau Teluk, selepas Iran menembak jatuh sebuah dron tentera Amerika Syarikat (AS) menggunakan peluru berpandu darat ke udara, mencetuskan ancaman keselamatan yang serius kepada pesawat komersial.

Serangan ke atas dron Global Hawk bernilai AS$130 juta tanpa senjata itu – yang boleh terbang dan mencecah ketinggian 60,000 kaki – adalah insiden terbaharu krisis AS-Iran, selepas serangan bom ke atas enam kapal minyak di rantau Teluk yang mengancam pasaran minyak dunia.

Menurut aplikasi pengesanan penerbangan, FAA berkata, pesawat awam terdekat yang beroperasi ketika dron itu ditembak jatuh, berada pada jarak kira-kira 45 batu nautikal (83 kilometer).

“Terdapat banyak pesawat awam yang beroperasi di kawasan itu ketika dron berkenaan dipintas,” kata FAA sambil menjelaskan nota amaran akan kekal sehingga satu notis baharu dikeluarkan.

Beberapa jam sebelum itu, United Airlines menggantung penerbangan antara Lapangan Terbang Newark di New Jersey ke bandar kewangan India, Mumbai, atas faktor keselamatan.

British Airways; Lufthansa (Jerman); KLM (Belanda); Qantas Airways Limited (Australia); Cathay Pacific (Hong Kong); Singapore Airlines Limited, Malaysia Airlines; dan Emirates Airlines (Emiriah Arab Bersatu), menyusun semula jadual penerbangan untuk mengelak melalui kawasan terbabit.

Felo Council on Foreign Relations (CFR), kumpulan pemikir berpangkalan di AS, Amy Myers Jaffe berkata, dengan mengelak menggunakan ruang udara dikawal Iran, bakal menjejaskan kos bahan bakar pesawat, sekali gus menjejaskan penerbangan antarabangsa.

“Ia adalah satu lagi kesan kerana pada masa sama harga minyak lebih tinggi, dan kos operasi untuk laluan pintasan akan lebih tinggi,” katanya.

Malaysia mempunyai sejarah tersendiri melalui ruang udara di wilayah konflik, apabila pada Julai 2014, MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu di ruang udara Ukraine, membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal, sekali gus mendorong syarikat penerbangan mengambil langkah tambahan mengelak ancaman terhadap pesawat mereka. – FAA News

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *