Home » Langit Terbuka » Malaysia tarik diri sertai Statut Rom

Malaysia tarik diri sertai Statut Rom

Perdana Menteri berkata, keputusan menarik diri dari Statut Rom dibuat dalam mesyuarat kabinet hari ini setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak. - Foto Borneo Post

PUTRAJAYA – Malaysia memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah ditandatangani pada 4 Mac lalu.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk majlis raja-raja.

Jelas Perdana Menteri, bantahan itu berlaku kerana mereka tidak memahami isi kandungan statut berkenaan sehingga bertindak memburukkan kerajaan dan diri beliau.

“Kita menarik diri bukan kerana ia buruk kepada negara tetapi disebabkan kekeliruan yang dicetuskan oleh pihak tertentu.,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Perdana Putra di sini hari ini (5 April).

Jemaah Menteri pada 12 Disember 2018 telah memutuskan supaya negara menyertai statut berkenaan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah telah menandatangani Instrumen Kesertaan untuk Malaysia dalam statut berkenaan.

ICC telah ditubuhkan di bawah Statut Rom dan telah berkuat kuasa pada tahun 2002.

Ia merupakan mahkamah jenayah antarabangsa yang pertama berasaskan triti dengan matlamat untuk melaksanakan siasatan dan dakwaan ke atas mana-mana individu yang disyaki melakukan jenayah antarabangsa yang sangat serius seperti genosid, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan. – Utusan Malaysia

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *