Home » Langit Terbuka » Melaka sasar capai kutip 20 peratus zakat fitrah pada kadar RM14 dari golongan berkemampuan

Melaka sasar capai kutip 20 peratus zakat fitrah pada kadar RM14 dari golongan berkemampuan

Ketua Menteri Melaka, Adly zahari berkata buat kali pertama Melaka memperkenalkan dua jenis kadar zakat iaitu RM7.00 bagi orang biasa dan RM14.00 bagi mereka yang mempunyai kemampuan yang lebih berdasarkan harga beras. - Foto Front Desk

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka sasar mampu mencapai tahap kutipan 20 peratus zakat fitrah pada kadar RM14.00 daripada golongan berkemampuan di negeri ini.

Ketua Menteri Melaka, Adly zahari berkata buat kali pertama Melaka memperkenalkan dua jenis kadar zakat iaitu RM7.00 bagi orang biasa dan RM14.00 bagi mereka yang mempunyai kemampuan yang lebih berdasarkan harga beras yang mereka guna.

“Secara keseluruhan kebanyakan daripada rakyat negeri ini akan membayar zakat fitrah pada kadar RM7.00 seorang iaitu bagi mereka yang menjadikan makanan harian daripada beras super tempatan.

“Manakala mereka yang berkemampuan dan menguna beras yang lebih mahal iaitu beras import termasuk beras wangi dan seumpanya akan membayar zakat pada kadar RM14.00.

“Namum bagi mereka yang menguna beras yang lebih mahal atas faktor kesihatan dan kurang berkemampuan hanya perlu membayar zakat fitrah pada kadar biasa iaitu RM7.00,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama agensi dan anak syarikat negeri Melaka di Hotel MITC, Ayer Keroh malam ini.

Adly berkata pada tahun ini kerajaan menyediakan peruntukan lebih daripada RM5 juta bagi membantu golongan fakir dan miskin dengan mendahulu peruntukan dari MAIM walaupun jumlah kutipan zakat fitrah pada tahun lalu kurang daripada itu.

Beliau berkata pada tahun ini golongan fakir akan menerima bantuan zakat sebanyak RM300 dan golongan miskin pula RM200 namum jumlah bantuan akan ditambah mengikut jumlah ahli keluarga.

“Saya mengalu-alukan kerjasama dari semua kerana sumbangan yang diberikan oleh pembayar zakat akhirnya akan digunakan untuk membantu masyarakat Islam di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai permintaan orang ramai agar perkhidmatan penghantar makanan diminta lebih sensitif terhadap kesucian bulan Ramadan dan tidak bersuhabat dengan mereka yang ‘ponteng puasa’, Adly berkata mereka yang terlibat memberi ruang kepada ‘kaki ponteng puasa’ boleh dikira bersubahat dengan mereka yang tidak berpuasa.

“Kita mempunyai peraturan, penjual makanan hanya boleh menjual makanan sepanjang bulan puasa selepas pukul 3.00 petang dan perkara seharusnya dipatuhi oleh semua pihak,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuasa kerana ianya hanya akan mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat.

“Semua orang Islam wajib berpuasa kecuali mereka yang uzur dan dibolehkan tidak berpuasa mengikut hukum Syarak, kalau tidak termasuk dalam golongan ini lebih baik saya nasihatkan agar mereka berpuasa,” katanya. – Bernama

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *