Home » Citra Yadim » MPWIM tumpu komunikasi dakwah

MPWIM tumpu komunikasi dakwah

Pengerusi MPWIM yang baharu Dr. Hafidzah Mustakim, semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Induk MPWIM di YADIM

PUTRAJAYA – Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM) akan memfokuskan kepada usaha komunikasi dakwah dalam gerak kerjanya.

Pengerusinya yang baharu  Dr. Hafidzah Mustakim berkata, ia akan disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami dan disenangi oleh golongan sasar pihaknya.

“Melangkah ke hadapan kita akan giatkan lagi penyampaian dakwah kepada wanita di negara ini, baik Muslim ataupun bukan Muslim.

“Dalam zaman teknologi ini kita kena sampailkan dakwah dalam bentuk yang orang ramai suka dan mahu dengar.

“Lepas ini lah cabaran kita, MPWIM yang dibarisi oleh pelbagai kepakaran seperti teknologi maklumat, media, kewartawanan dan sebagainya untuk komunikasikan dakwah supaya ia sampai ke hati masyarakat,” katanya semasa Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Induk Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia di ibu pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia YADIM di sini hari ini (16 Mei).

 

Hadir sama ialah Yang Dipertua YADIM, Yang Berusaha Ustaz Nik Omar Nik Ab Aziz serta barisan kepimpinan badan dakwah ini.

Mengulas lanjut Hafidzah berkata, pihaknya akan berkolaborasi dengan pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang terdapat di negara ini bagi mencapai tujuan MPWIM itu.

“Dengan sumber dan rangkaian yang dimiliki YADIM, InsyaAllah kita akan kumpulkan NGO yang ada untuk bincang dan tentukan bagaimana kita bergerak nanti.

“Semua ini dilakukan untuk pembelaan dan pembinaan wanita, kerana umum tidak akan lihat apa yang kita sampaikan selagi kebajikan mereka tidak dijaga,apabila rasa terbela, baharu mereka akan dapat keindahan Islam yang Rahmatan Lil Alamin itu” jelasnya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana YADIM memberi kepercayaan kepada pasukannya untuk menggalas tugas berat MPWIM dalam mendepani pelbagai isu isu menyentuh wanita Muslim di Malaysia.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan kepimpinan MPWIM yang sebelum telah meletakkannya pada satu tahap yang terbaik, dan kami akan meneruskan dari situ,” ujarnya.

Dalam ucapannya beliau turut menyentuh mengenai pengaruh dan keberkesanan wanita dalam sesebuah organisasi.

“Satu kajian mendapati bahawa Syarikat Fortune 500 yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga pengarah wanita, berjaya mencapai pulangan ke atas modal yang dilaburkan sehingga mencatat peningkatan 66 peratus, selain pulangan ke atas jualan juga meningkat sehingga 42 peratus.

“Malah bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Kofi Annan pernah berkata, apabila wanita terlibat (dalam sesuatu pertubuhan), kebaikannya akan dilihat serta merta, pendapatan meningkat, tabungan dan pelaburan semula juga bertambah,”katanya.

Dalam pada itu, Nik Omar dalam ucapannya berkata, beliau yakin barisan ahli ahli MPWIM yang baharu dilantik mampu melaksanakan tugas dengan baik dan boleh mengangkat nama YADIM.

“Dengan kepelbagaian latar belakang yang ada seperti dari bidang pendidikan, penyelidikan, kewangan, serta selebriti , dengan fokus utama untuk sama sama menyumbang kepada dakwah dan isu isu wanita, saya yakin MPWIM boleh main peranan dengan baik. Wanita juga ada kekuatan tersendiri yang tidak ada pada lelaki.

“MPWIM diberi kepercayaan penuh untuk laksanakan programnya, saya secara peribadi, menerusi kepimpinan tertinggi YADIM rasa bersyukur dan berbangga kerana mreka sudi bersama dalam menjalankan gerak kerja dakwah,” katanya.

Seramai 30 orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dilantik sebagai ahli MPWIM untuk tempoh dua tahun.

Ahli-ahli MPWIM berkenaan terdiri daripada pemimpin wanita dari pelbagai pertubuhan wanita Islam, ahli-ahli akademik dan profesional serta mereka yang berpengalaman dan yang telah menyumbang kepada kemajuan wanita.

Melalui pelantikan ini, barisan ahli MPWIM yang baru diketuai oleh Dr. Hafidzah Mustakim selaku pengerusi, serta dua orang penasihat iaitu Datuk Siti Norlasiah Ismail, mantan Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dan Ustazah Maznah Daud, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM.

Antara tokoh wanita dilantik mengangotai MPWIM termauklah YB Raj Munni Sabu @ Aiman Athirah Al Jundi (Senator di Dewan Negara), Hajah Rohani Dato’ Mohd Shahir (pakar kewangan) dan Dr. Nur A’thiroh Masyaa’il Tan Ai Pao (pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia). Turut dilantik ialah dua selebriti iaitu Nabila Shila Lama dan Abby Abady.

MPWIM telah mula ditubuhkan oleh YADIM pada 1 September 2000, dan Pengerusi pertamanya ialah Dato  Hajjah Kamilia Ibrahim dan dibantu oleh  Allahyarhamah  Prof. Dr. Khalijah Mohd. Salleh, selaku Timbalan Pengerusi.

Penubuhan MPWIM oleh YADIM adalah di atas kesedaran bahawa tenaga, idea dan kepakaran kaum wanita dalam pelbagai disiplin keilmuan perlu digembleng secara kolektif bagi memartabat dan menggerakkan potensi serta keprihatinan mereka untuk pembangunan ummah dalam aspek pendidikan, sosial dan kebajikan.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *