Home » Citra Yadim » NGO Islam perlu peka, proaktif

NGO Islam perlu peka, proaktif

Suasana Sesi Randau Bersama NGO Islam, Kluster Hak Asasi Manusia, Majlis Amal Islami Malaysia, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

PUTRAJAYA – Badan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Islam di negara ini perlu peka terhadap saranan dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia Malaysia (Centhra), Azril Mohd Amin menjelaskan, perkara itu kerana ia  akan mempengaruhi keputusan dan pendirian kerajaan berhubung sesuatu isu.

“Dalam perkara ini, yang sedang diperkatakan contohnya ialah Akta Hasutan dan hukuman mati, atau perkahwinan sejenis sebagai contoh, adakah pandangan kita sebagai NGO Islam ?

“Trend ini memang sedang berlaku, kita mesti ambil peduli, jika timbul sesuatu isu, namun tidak diendahkan oleh mana mana NGO Islam, tetapi sebenarnya ia penting dalam  aspek kemaslahatan ummah, kerajaan akhirnya mungkin beranggapan ia tidak signifikan, jadi bukankah ia merugikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Sesi Randau Bersama NGO Islam, Kluster Hak Asasi Manusia, Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini (29 Januari 2018).

MAIM merupakan sebuah sekretariat di bawah YADIM yang bertanggungjawab menyelaras kegiatan NGO NGO Islam di Malaysia.

Sesi berkenaan diadakan bagi membincangkan syor syor hak asasi manusia dalam UPR, yang di bawa ke PBB.

Antara NGO yang hadir termasuklah  Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam (ACCIN), Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) serta wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mewakili YADIM pula ialah ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Dan Pembangunan NGO Zamani Mohd Karulani serta kakitangan bahagian berkenaan.

Dalam pada itu Azril menjelaskan, dalam memperjuangkan sesuatu isu berkaitan Islam, adalah penting bagi sesuatu NGO  giat menghantar memorandum, laporan atau surat kepada pihak berkaitan.

Menurut beliau, cara demikian lebih berkesan daripada sekadar berdemonstrasi semata mata dalam menyuarakan sesuatu isu.

‘Bukan kita tidak boleh langsung berdemonstrasi, tetapi ia kurang berkesan, kalau kita hendak tukar pendirian sesuatu pihak bukan melalui cara itu, kalau kita teruskan jua, tak mungkin mereka akan ambil pandangan kita.

“Buat pertama kalinya tahun lepas, sebuah NGO Islam dimasukkan dalam laporan pihak berkepentingan, dalam laporan kepada Majlis Hak Asasi, jadi ia menunjukkan betapa penting kedudukan itu, ” katanya.

Senada dengan Azril ialah peguam yang juga wakil MACSA, Tn Hj Zainal Abidin yang berkata di Barat, NGO memainkan peranan besar dalam sesuatu isu, serta berpengaruh mendesak pendirian kerajaan.

“NGO di Barat mempunyai kekuatan untuk menentukan kerajaan, di Malaysia gerakan NGO Islam  sudah bertambah baik, namun sekarang kita perlu perkasakan,” katanya.

Menyentuh mengenai saranan yang dibincangkan dalam sesi hari ini, Zainal berkata, ia akan dibawa ke perhatian Yang Berhormat Menteri berkaitan, dan bukannya ditamatkan begitu sahaja.

Katanya lagi, kerajaan berhak menolak sesuatu syor itu sekiranya ia tidak sesuai dengan norma kehidupan masyarakat Malaysia.

UPR adalah satu proses semakan ke atas kesemua 193 negara di bawah PBB terhadap kepatuhan kepada beberapa ketetapan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

 

 

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *