Home » Citra Yadim » Panel forum sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

Panel forum sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

PUTRAJAYA – Bersempena dengan Keputeraan Sultan Perak, sebuah program yang dinamakan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bakal diadakan dengan fokus kepada pengisian kerohanian.

Bagi tujuan tersebut, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Yang Berbahagia Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz telah dijemput sebagai panel utama sebuah forum eksekutif, yang merupakan antara pengisian kepada muzakarah berkenaan.

Pegawai Penyelidik dan Maktabah, Jabatan Mufti Perak, Ustaz Kamarudin Adam yang menyampaikan jemputan bagi pihak urusetia program ketika berkunjung ke ibu pejabat YADIM di sini semalam (11 Mac 2019) berkata, selain Nik Omar, pihaknya juga menjemput pendakwah terkenal, Ustaz Dasuki Rani serta Ustaz Hazizi Rahman.

“Program muzakarah ini akan berlangsung selama sehari, dengan tarikh cadangannya pada 8 April ini. Slot perasmian pada sebelah pagi manakala acara forum eksekutif pula pada jam 2.30 petang.

‘Ahli ahli panel forum akan membincangkan tajuk ‘Rahmatan Lil Alaman, Pendekatan, Konsep, Kekangan Dan Cabaran,” katanya semasa bertemu dengan Nik Omar di pejabatnya di sini.

Hadir sama ialah Ustaz Amri Al-Husni  selaku Timbalan Pegawai Maktabah di Pejabat Mufti Negeri Perak.

Dalam pada itu Kamarudin menambah, moderator bagi forum berkenaan ialah pengacara serba boleh, Sayed Munawar Sayed Mohd. Mustar.

Katanya lagi, ucaptama untuk muzakarah akan diadakan pada sebelah pagi, yang dijadualkan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dato’ Dr. Siddiq Fadzil.

Muzakarah ini mempunyai sejarah yang unik, ianya diadakan setiap kali keputeraan sultan, bermula sejak Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, jelas Kamarudin.

Tambahnya, sekretariat program telah menghantar jemputan untuk menghadiri muzakarah itu kepada Pengarah Jabatan Agama Islam negeri negeri serta agensi agensi agama lain yang berkaitan.

“Sekretariat majlis berharap supaya YADIM setuju dengan jemputan ini, dan sekiranya ingin menghantar peserta ke muzakarah atau forum ini kami amat alu alukan,”ujarnya.

Nik Omar dalam pada itu menyambut baik jemputan berkenaan dan menyatakan pihaknya berharap dapat membantu menyumbang serba sedikit untuk menjayakan muzakarah tersebut.

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *