Home » Langit Terbuka » Pelekat khas langkah elak Al-Quran tak cukup syarat, kata KDN

Pelekat khas langkah elak Al-Quran tak cukup syarat, kata KDN

Bangunan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. - Foto The Malaysia Times

PETALING JAYA – Pelekat hologram khas pada nashkah Al-Quran dalam teks bahasa Arab yang asal salah satu usaha membendung kemasukan kitab import yang mengandungi kesilapan, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

KDN menjelaskan pelekat itu bertujuan mengekang lambakan Al-Quran import yang tidak menepati penulisan yang ditetapkan di Malaysia dan tidak mendapat perakuan “betul” pruf akhir teks daripada Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran (LPPPQ), yang keahliannya melibatkan mufti negeri-negeri.

Pelekat bagi setiap satu naskah itu juga bertujuan mengawal kualiti penerbitan teks Al-Quran daripada sebarang kesalahan dan kesilapan, memudahkan aktiviti pemantau teks Al-Quran di pasaran, dan memudahkan semakan pengguna jika terdapat keraguan.

“Pelaksanaan penggunaan pelekat hologram bukan bertujuan untuk menyusahkan pihak industri tetapi matlamat utamanya adalah untuk memelihara kesucian, kesahihan dan ketulenan al-Quran,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya lagi, pelaksanaan pelekat khas itu diputuskan oleh LPPPQ pada 2005 dan diwartakan berkuatkuasa pada 1 Februari 2010.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan penerbit tempatan resah dengan peraturan tersebut, mengatakan ia satu bentuk cukai tanpa kebenaran oleh kerajaan.

Penerbit berkata mereka mesti membayar pendahuluan bagi kos hologram berdasarkan cetakan, sebelum mencetak dan menjualnya, dan caj untuk setiap salinan bermakna penerbit menanggung kos yang lebih tinggi, iaitu tambahan sebanyak 25%, untuk jumlah yang lebih besar, “yang sepatutnya menurunkan kos percetakan”.

KDN berkata hologram itu bukan kaedah untuk mengenakan “cukai” kepada penerbit Al-Quran.

“Harga yang ditetapkan iaitu 50 sen bagi setiap hologram hanyalah kos bagi perolehan hologram,” katanya.

Penerbit Al-Quran sebelum ini berkata 50 sen itu masih kos tambahan bagi pengeluaran kitab yang sudah tertakluk pada beberapa syarat yang ketat, seperti mengemukakan salinan asal pruf akhir untuk semakan panel pakar.

Pada 2017, “yuran” bacaan pruf meningkat sebanyak 5 kali dari RM300 kepada RM1,500.

KDN menjelaskan ia tidak pernah mengenakan yuran bacaan pruf. Fi yang dikenakan itu adalah fi pemprosesan bagi setiap pruf akhir yang dikemukakan.

KDN berkata kenaikan kadar fi itu bertujuan memastikan hanya pruf akhir yang berkualiti dan benar-benar akan dicetak dikemukakan untuk perakuan betul, selepas mendapati banyak pruf akhir diluluskan tetapi tidak diterbitkan.

KDN mendedahkan kos asal semakan pruf akhir teks Al-Quran yang ditanggung kerajaan ialah sebanyak RM9,000 bagi setiap pruf akhir teks Al-Quran, dan meningkat kepada RM18,000 pada 2016 dengan pelbagai inovasi baru seperti tajwid berwarna.

“Bayaran fi pemprosesan yang dikenakan kepada penerbit sebanyak RM1,500 hanya 8.3% daripada kos semakan. Baki 91.7% kos semakan ditanggung kerajaan,” katanya. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *