Home » Langit Terbuka » Pembaziran makanan berkurangan tanpa bazar Ramadan

Pembaziran makanan berkurangan tanpa bazar Ramadan

Tiada bazar Ramadan tahun ini, jadi apa yang dibeli dan dimasak nampak terkawal. - Foto Tatler Malaysia

PUTRAJAYA Ketiadaan bazar Ramadan pada tahun ini berikutan penularan wabak COVID-19 dilihat mampu mengawal isu pembaziran makanan yang berlaku setiap kali bulan Ramadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, ini digalakkan lagi dengan saranan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya umat Islam memasak sendiri juadah berbuka puasa di rumah.

“Tiada bazar Ramadan, jadi apa yang dibeli dan dimasak nampak terkawal. Justeru, pembaziran boleh diminimumkan.

“Kalau boleh kita hendak sifar pembaziran tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu cukup menarik dan nampak berhasil,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan penyerahan sumbangan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini pada 27 April.

Ditanya kemungkinan penduduk di zon hijau mengambil mudah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk keluar membeli juadah berbuka puasa, Zulkifli berkata, mereka sepatutnya mengambil iktibar situasi di sesetengah negara yang menyaksikan sikap tidak ambil peduli boleh menyebabkan berlakunya gelombang kedua atau ketiga COVID-19.

“Kita masih bertarung untuk memutuskan rantaian COVID-19, kalau kita boleh teruskan, alangkah baiknya.

“Banyak lagi cara (beli juadah berbuka puasa), contohnya menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan ke rumah. Itu jauh lebih baik dan kita duduk di rumah,” katanya.

Menyentuh mengenai Tabung Musa’adah COVID-19 JAKIM, Zulkifli berkata, setakat ini, sebanyak RM1.6 juta daripada keseluruhan RM3.7 juta kutipan tabung itu telah digunakan bagi membantu golongan memerlukan. – Bernama

Artikel Berkaitan

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *