Home » Langit Terbuka » Penagih dadah akan dirawat, bukan penjara

Penagih dadah akan dirawat, bukan penjara

PETALING JAYA – Malaysia dijangka mengambil langkah besar baru dengan tidak menjadikan penagih dadah sebagai penjenayah, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun katanya, ini tidak bermakna kerajaan akan menghalalkan dadah.

“Dekriminalisasi adalah penghapusan hukuman jenayah kerana memiliki dan menggunakan jumlah kecil dadah untuk kegunaan peribadi, berbeza dengan mereka yang terlibat dalam pengedaran dadah

“Mengedar dadah tetap kekal sebagai satu jenayah.”

Dzulkefly berkata, penggunaan dan ketagihan dadah adalah masalah perubatan yang kompleks, kronik dan berulang-ulang.

“Terdapat banyak faktor yang mendorong seseorang mengguna dan menagih dadah. Ia mungkin merupakan kecenderungan genetik, keadaan persekitaran seperti kemiskinan, keruntuhan keluarga atau tekanan di sekolah dan rakan sebaya.

“Kesemua faktor ini boleh mendorong seseorang menggunakan dadah.

“Jika ia terus mengambil dadah, perubahan biologi akan mula berlaku dalam otak mereka. Justeru tidak mudah untuk menterbalikkan perubahan biologi yang berlaku.”

Beliau berkata, langkah memenjarakan penagih dadah tidak akan mengubah keadaan.

“Ia bukan hanya masalah seseorang tidak mempunyai keazaman yang kuat.”

Katanya, dekriminalisasi penagih dadah merupakan langkah kritikal ke arah pelaksanaan dasar mengenai dadah yang rasional yang mendahulukan sains dan kesihatan awam, berbanding hukuman dan pemenjaraan.

“Penagih dadah akan dirawat sebagai seorang pesakit (bukan penjenayah) dengan ketagihannya dilihat sebagai penyakit yang ingin kita sembuhkan.

“Bukti sejak beberapa dekad ini jelas menunjukkan bahawa dekriminalisasi adalah langkah waras yang akan membuahkan manfaat kemanusiaan dan fiskal yang besar, selain melindungi keluarga dan komuniti.”

Katanya, lebih 30 negara kini mengorak langkah ke arah agenda dekriminalisasi ini. – FreeMalaysiaToday

 

Artikel Berkaitan

Malaysia negara pertama terima visa haji

KUALA LUMPUR: Malaysia menjadi negara pertama yang menerima pengeluaran visa haji daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi jemaah musim haji

ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *